PELAKON Aedy Ashraf meluahkan rasa syukur apabila hubungannya dengan aktres Amelia Henderson direstui direstui peminat.

Bagaimanapun kata Aedy, dia tidak mahu terlalu memikirkan tentang hubungan dan menyerahkannya kepada takdir.

“Alhamdulillah saya sangat selesa dan gembira dengan dia.

“Saya rasa bersyukur ada orang mendoakan yang baik-baik dan saya harapkan mereka terus doakan yang baik-baik untuk saya dan juga Amelia.

“Kalau ditanya mengenai perancangan (perkahwinan) tidak ada. Setakat ini tiada, kalau ada rezeki ada dan sebaliknya,” katanya ketika ditemui Gempak.

Aedy berkata demikian ketika ditemui pada majlis penjenamaan semula perniagaan kentang gorengnya, Fam’ Fries yang diadakan di Titiwangsa pada Ahad.

Mengulas mengenai kehadirannya di Festival Filem Cannes bagi memberi sokongan pada Amelia, Aedy berkata dia amat berbangga dengan pencapaian aktres itu.

“Sebenarnya saya hadir ke sana untuk memberikan sokongan pada Amelia kerana dia mendapat jemputan sebagai hos daripada TikTok untuk menemu bual selebriti terkenal.

“Saya rasa benda itu sesuatu yang sangat besar bagi Amelia, saya gembira untuk dia. Tetapi malangnya saya tidak dapat bertemu dengan mana-mana selebriti ternama Hollywood kerana saya datang lambat sedikit.

“Melihat sendiri aura di sana, macam mana mereka menghargai filem-filem luar, sangat gila. Saya nampak juga filem-filem Malaysia sampai ke sana. 

“Saya rasa ia pendedahan yang sangat-sangat bagus. Terutama untuk filem-filem Malaysia pada masa hadapan khasnya filem The Tiger Stripes. 

“Sebuah filem indie yang sampai ke sana dan menang anugerah besar, satu hal yang membanggakan," ujarnya.

Tidak hanya ke Festival Filem Cannes, Aedy juga turut mengambil peluang untuk bercuti dan menjelajah beberapa lokasi menarik di sana.

"Alang-alang sudah di sana, kenapa tidak kami melancong bersama. Saya suka melancong begitu juga dengan dia.

“Tiga hari di Cannes manakala empat hari di Barcelona," katanya.

Terdahulu, pasangan ini menjadi tumpuan selepas Aedy memuat naik video bercuti bersama Amelia di Barcelona menerusi sebuah hantaran di Instagram.

Video tersebut mendapat pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya merestui hubungan mereka berdua dan mendoakan pasangan ini kekal hingga ke jinjang pelamin. - Gempak