KAJANG: Selepas beberapa hari menerima rawatan akibat sesak nafas di Hospital Kajang, gitaris kumpulan IKLIM Umarul Mahdzar Embong akhirnya dibenarkan keluar pada Khamis.

Namun, tiada kelegaan sepenuhnya bagi Umarul memandangkan isterinya pula kini dirawat di Hospital Serdang.

Isterinya Roziah Rani, 59, yang terlantar sakit dan hilang penglihatan sejak beberapa tahun lalu susulan penyakit kencing manis dan strok, sebelum ini dijaga sepenuhnya oleh Umarul.

Umarul ketika dihubungi oleh Astro AWANI menjelaskan, isterinya itu dimasukkan ke Hospital Serdang ketika dia masih dirawat di hospital tempoh hari.

Bagaimanapun keadaan Roziah kini dilaporkan stabil dan tidak begitu membimbangkan.

"Sejak keluar hospital saya masih belum sempat untuk menjaga isteri di Hospital Serdang atas faktor kesihatan namun akan segera ke sana dalam masa terdekat sebaik keadaan mengizinkan.

"Keadaan saya pula Alhamdulillah kini lebih baik dan saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada sahabat handai yang prihatin dengan keadaan saya sepanjang saya berada di hospital tempoh hari," katanya.

Umarul yang juga seorang komposer turut menghargai jasa dan peranan yang dimainkan oleh Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez yang begitu prihatin dengan apa yang menimpanya.

"Freddie dan anggota Karyawan ada menghubungi saya sejurus berita mengenai saya tersebar di media dan mereka sangat prihatin terhadap nasib yang menimpa setiap artis.

"Fungsi yang dimainkan oleh mereka sangat efektif dan saya memuji keperihatinan yang ditampilkan mereka," jelasnya lagi.

Umarul yang juga merupakan pencipta kepada banyak lagu popular kumpulan IKLIM memberitahu salah satu jari kaki isterinya itu kini terpaksa dipotong untuk mengelakkan keadaan yang lebih buruk.

Astro AWANI sebelum ini pernah mengeluarkan artikel yang mengisahkan kegigihan Umarul dalam menjaga dan menguruskan isterinya yang buta akibat penyakit kencing manis beberapa tahun lalu.

Keadaan itu bertambah buruk apabila isterinya tidak lagi mampu bergerak selepas diserang angin ahmar.

Kedua-dua mereka tidak dikurniakan cahaya mata sepanjang tempoh perkahwinan.

Umarul dan IKLIM ketika dalam proses pembikinan dua buah single terbaharu kumpulan itu.