SYARIKAT produk kosmetik dan kecantikan yang diasaskan Datuk Seri Siti Nurhaliza, SimplySiti tampil membuat permohonan maaf ekoran salah faham dan kekeliruan berhubung pembungkusan produk tisu pembersih yang sama dengan salah satu jenama tempatan seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

Menerusi kenyataan media yang disiarkan pada Selasa, SimplySiti mengambil serius dakwaan terbabit dan menjelaskan tidak berniat untuk meniru mana-mana produk atau rekaan pembungkusan tisu pembersih terbabit.

"SimplySiti Sdn Bhd mengambil sepenuh perhatian di atas kenyataan yang dikeluarkan oleh pengasas syarikat Kayman Beauty di media sosial mengenai dakwaan terdapat persamaan pada rekaan pembungkusan produk tisu pembersih keluaran syarikat tersebut.

"Dimaklumkan bahawa pihak SimplySiti tidak berniat meniru mana-mana produk atau rekaan pembungkusan kerana tisu pembersih ini dikeluarkan menerusi pengilang peralatan asli atau OEM.

"SimplySiti dengan tulus ikhlas memohon maaf di atas segala salah faham atau kekeliruan yang berlaku.

"Kami amat menghormati syarikat-syarikat dan pengeluar produk lain serta mahu bersaing secara sihat di dalam perniagaan.

"Semoga dengan penjelasan ini, segala kekeliruan dan salah faham di antara pihak SimplySiti dan Kayman Beauty dapat diselesaikan dengan baik," tulis kenyataan itu.


Terdahulu kecoh di media sosial apabila pembungkusan tisu pembersih dua jenama tempatan itu tular dan menjadi perdebatan antara peminat setia penyanyi nombor satu negara itu dan ejen-ejen produk.

Tindakan tampil memperjelaskan isu terbabit juga dipuji warganet, menyifatkan SimplySiti sangat profesional dalam menguruskan krisis dan patut menjadi contoh kepada jenama tempatan lain apabila timbul isu plagiarisme.


*Artikel asal di Gempak