Datuk Siti Nurhaliza akan membuat persembahan di satu majlis makan malam untuk mengumul dana sempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara di sini pada 30 Nov ini, di mana beliau akan menyampaikan keseluruhan lagunya dalam irama jaz.

Acara yang dinamakan 'Pink Jazzy Affair' itu dianjurkan oleh Hospital Gleneagles Kuala Lumpur (HGKL) bagi mengumpul RM100,000 untuk membantu pesakit kanser payudara.

Siti Nurhaliza melahirkan rasa keterujaannya kepada pemberita di Kuala Lumpur Jumaat kerana dapat mengambil bahagian dalam majlis murni itu.

"Saya akan melakukan sesuatu yang istimewa untuk penonton," katanya dan menambah ia merupakan pertama kali beliau akan membuat persembahan secara keseluruhan dalam bentuk jaz.

"Orang selalunya mendengar saya menyanyi lagu pop, balada dan tradisional, tetapi (kali ini) kami akan mengubah semula lagu asal saya ke irama jaz, khusus untuk acara itu," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif HGKL, Amir Firdaus Abdullah berkata acara tersebut dianjur bagi menyokong Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia.