ARTIS K-Pop Jung Joon-Young mungkin berdepan tuduhan baharu.

Dalam perkembangan skandal seks K-Pop tergempar baru-baru ini, Jung Joon-Young disiasat atas kesalahan menyebar rakaman video seks tanpa kebenaran pasangan-pasangannya dalam satu kumpulan ‘chat’ menerusi aplikasi Kakao Talk.

Namun, siasatan mendapati bahawa kumpulan ‘chat’ itu turut telah menyebarkan satu video yang merakamkan aksi rogol.

Menurut laporan berita tempatan SBS, pelbagai perbualan antara ahli-ahli kumpulan tersebut menceritakan tentang rogol dan dadah.

Dalam satu temubual bersama peguam Bang Jung-Hyun menerusi program tempatan Lee Kyu-Yeon’s Spotlight, beliau berkata bahawa kandungan dalam kumpulan itu harus disiasat dengan lebih teliti kerana ia boleh digunakan sebagai bukti berlakunya rogol.

Bang Jung-Hyun merupakan peguam yang melaporkan mengenai kumpulan ‘chat’ itu kepada Suruhanjaya Anti-Rasuah dan Hak Sivil untuk siasatan lanjut.

“Pertama sekali, terdapat gambar dan video wanita yang tidak sedarkan diri. Video-video itu menunjukkan aksi seksual dilakukan terhadap wanita yang terbaring seolah-olah sedang tidur.

“Sekurang-kurangnya 10 video yang mungkin menunjukkan aksi seksual yang dipaksa,” kata beliau.

Jung-Hyun dakwa beliau bersama pasukan perundangannya cuba menghubungi mangsa-mangsa yang dirakam.

Kata beliau, “Mangsa-mangsa berkenaan terkejut apabila melihat rakaman dalam kumpulan ‘chat’ itu.

"Mereka tidak ingat langsung tentang apa yang terjadi. Mereka mengecam diri sendiri, namun tidak ingat yang mereka terlibat dalam seks.”

Peguam itu mengaitkan isu berkenaan dengan penyalahgunaan dadah rogol temu janji atau ‘date rape drug’ bertujuan untuk mengkhayalkan mangsa rogol.

BACA: Sungguh licik! Jung Joon-young ada bahasa rahsia untuk jenis dadah

Dia turut menjelaskan bahawa Joon-Young telah membuat satu kesilapan besar yang bantu mendedahkan kumpulan ‘chat’ itu kepada pihak polis.

Salah seorang daripadanya, Seungri daripada kumpulan K-Pop Big Bang sering beri arahan agar rakan-rakannya bertukar kepada kumpulan ‘chat’ lain supaya tidak meninggalkan apa-apa rekod perbualan.

Namun, Joon-Young tidak pernah meninggalkan kumpulan-kumpulan ‘chat’ tersebut sekaligus menyelamatkan rekod perbualan mereka sebagai bukti.

“Sekira Jung Joon-Young keluar daripada ‘chat’ itu, ia memang akan jadi sukar untuk mendapatkan semula rekod kumpulan itu,” kata peguam Bang-Jung Hyun dalam temubual itu.

Pada 2016, Jung pernah dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan yang serupa selepas merakamkan video seks dengan pasangannya tanpa pengetahuan wanita tersebut.

Bagaimanapun, kes berkenaan digugurkan selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kesalahannya.

BACA: Raline Shah dipanggil polis, bantu siasatan kes Seungri