PERGOLAKAN rumah tangga Syamsul Yusof dan isteri pertama Puteri Sarah Liyana masih menemui jalan buntu selepas sang isteri memfailkan cerai pada Januari lalu.

Malah, Syamsul didakwa banyak melebihkan isteri keduanya, Ira Kazar selepas ketidakhadirannya ketika Puteri Sarah dan anak-anak berangkat ke umrah dipertikai.

Namun, terbaharu Syamsul menerusi akaun TikTok miliknya dilihat memuat naik semula video kenangan ketika bercuti di Jepun bersama Puteri Sarah dan anak pertamanya Syaikhul yang ketika itu masih bayi.

Video berkenaan menunjukkan seolah-olah Syamsul memberi bayangan dia sedang rindukan isteri pertama dan kenangan sewaktu bersama.

Malah lagu "Aku Masih Sayang" daripada kumpulan popular Indonesia ST12 dijadikan muzik latar video tersebut.

"Aku sungguh masih sayang pada mu, jangan sampai kau meninggalkan aku," bait-bait dari potongan lagu tersebut yang dimuat naik.

Menerusi video berkenaan Syamsul tengah bergembira di meja makan sebuah restoran di sana sambil anaknya sedang berada di kereta sorong.

Bagaimanapun, Syamsul telah menutup ruangan komen di video TikTok berkenaan yang setakat ini sudah mendapat tanda suka hampir 2,000.

Terdahulu, nama pelakon Puteri Sarah menjadi perhatian ramai gara-gara krisis yang melanda dalam rumah tangganya bersama dengan pengarah popular, Syamsul Yusof yang telah bernikah dengan seorang wanita bernama Ira Kazar.

Malah, Puteri Sarah juga telah bernekad dengan memfailkan penceraian kerana sudah tidak mahu memberi harapan terhadap rumah tangganya. -Gempak