BINTANG aksi Hollywood, Sylvester Stallone dan isteri, Jennifer Flavin mengumumkan perceraian mereka hanya beberapa bulan selepas meraikan ulang tahun perkahwinan ke-25.

"Saya sayang keluarga saya.

"Kami sedang menangani isu peribadi ini secara baik dan sulit ,” kata Stallone dalam satu kenyataan kepada The Times.

Sebelum ini, sudah timbul spekulasi akan perpisahan pasangan itu selepas bintang "Rocky" tersebut menutup tatu wajah isterinya dengan gambar anjing kesayangan "Butkus" yang telah meninggal dunia.

Tindakan itu dipercayai antara punca kepada perpisahan pasangan itu selain pertengkaran susulan keengganan Flavin membenarkan Sly memelihara anjing baharu, lapor TMZ.

Sumber rapat memberitahu TMZ bahawa bintang "Rocky" itu mahu mendapatkan anjing Rottweiler untuk tujuan perlindungan keluarga mereka, tetapi tidak dibenarkan Flavin.

Dilaporkan kedua-dua mereka bertelagah kerana anjing itu, dan masing-masing tidak mahu mengalah.

Stallone bertegas dan akhirnya mendapatkan juga anjing yang diberi nama "Dwight". Dia kemudian menyiarkan video serta gambar bersama anjing itu di Instagram.

Namun, ketika Stallone berada di Oklahoma untuk penggambaran filem, dia terkejut apabila mengetahui Flavin telah memfailkan perceraian.

Flavin dilapor memfailkan "pembubaran perkahwinan" di mahkamah di Palm Beach County, Florida, Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat lalu.

Pelakon aksi dan bekas model itu mula menjalin hubungan pada awal 90-an.

Menurut IMDb, Flavin muncul sebagai gadis penghantar barang dalam "Rocky V" pada tahun 1990.

Pada Ogos 1996, pasangan itu dikurniakan anak perempuan pertama, Sophia Rose Stallone sebelum berkahwin pada Mei 1997.

Mereka kemudian dikurniakan anak perempuan, Sistine Rose pada tahun 1998, dan Scarlet Rose pada tahun 2002.

Pasangan itu menyambut ulang tahun perkahwinan yang ke-25 pada Mei.

Perkahwinan itu adalah perkahwinan pertama Flavin.

Stallone sebelum ini berkahwin dengan isteri pertama Sasha Czack dari 1974 hingga 1985, dan pelakon Brigitte Nielsen dari 1985 hingga 1987.