PELAKON Puteri Sarah Liyana meluahkan rasa kecewa susulan pendedahan suaminya, Syamsul Yusof yang memadukannya dengan menikahi Ira Kazar.

Dalam masa sama, Puteri Sarah meminta Syamsul tidak memutarbelitkan situasi dengan meletakkan kesalahan di atas bahunya.

"Kalau Syaikhul and Sumayyah boleh beri kenyataan di mahkamah, beri akan kata: 'Ayah yang banyak kali keluar rumah tinggalkan mama, abang dan adik… di mana ayah selalu tak ada kat rumah?'

"Syamsul, jangan hadapkan kebodohan awak pada saya. Jangan gunakan nama Allah untuk menampakkan awak seolah-olah malaikat di mata manusia," tulis pelakon itu di akaun Instagramnya.

BACA: Syamsul Yusuf mengaku nikahi Ira Kazar di Thailand

Dalam hantaran berbeza di Insta Story, Puteri Sarah juga mendakwa Syamsul sudah menikahi Ira beberapa bulan lepas.

"(Syamsul) pusingkan cerita dan letakkan kesalahan atas bahu saya?

"Tapi apa-apa pun tahniah sebab akhirnya mengaku (sudah bernikah) dan berdaftar, selepas berbulan nikah di Thailand," katanya sambil memaklumkan akan memperincikan perkara itu dalam satu video selepas menyelesaikan tugasan.

Terdahulu, pengarah prolifik itu mengesahkan sudah menikahi Ira, yang juga anak kepada pelakon Kazar Saisi, di Thailand.

Dia, bagaimanapun, tidak memaklumkan tarikh bilakah majlis pernikahan berlangsung.

Sepanjang tahun lalu, kontroversi rumah tangga Syamsul dan Puteri Sarah mendapat liputan meluas media tempatan.

Puteri Sarah dalam kenyataannya pernah mendedahkan Ira sebagai punca rumah tangganya dengan Syamsul bergolak.

Syamsul dan Puteri Sarah yang bernikah pada 8 Mac 2014 dikurniakan sepasang cahaya mata, Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4.