KUALA LUMPUR: Polis Evo, filem terbitan Astro Shaw bersama Skop Productions dan TGV Pictures  berjaya meraih kutipan sneak preview semalam sebanyak RM1.3 juta.

Ini menjadikan filem aksi komedi itu di tangga pertama di carta Top 10 GSC Malaysia bagi kutipan tertinggi pada Rabu, sekali gus mengetepi filem antarabangsa.

Filem aksi komedi arahan Syafiq Yusof itu ditayangkan secara rasminya di pawagam seluruh negara bermula hari ini.

Penerbit Eksekutif Polis Evo 3, Raja Jastina Raja Arshad menyifatkan ia sebagai satu permulaan yang baik untuk Polis Evo 3 serta kedudukannya itu membuktikan filem tempatan masih mampu menawan hati penonton selain memberi saingan sengit kepada filem antarabangsa

"Alhamdulillah, kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penonton Malaysia, Singapura dan Brunei yang telah menonton filem ini.

"Terima kasih juga kepada rakan penerbit Skop Productions dan TGV Pictures, barisan pelakon serta semua yang berusaha keras dalam meletakkan kejayaan Polis Evo 3," katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.

Orang ramai turut dipelawa mengikuti jelajah Polis Evo 3 di Terengganu dan Pahang pada 26, 27, 28 Mei, Seremban (2 Jun), Kedah, Pulau Pinang dan Perak (3, 4, 5 Jun) sementara di Singapura, Johor dan Melaka (8, 9, 10 dan 11 Jun).

Filem arahan Syafiq Yusof ini menampilkan barisan pelakon seperti Zizan Razak, Shaheizy Sam, Sharnaaz Ahmad, Nora Danish, Syafiq Kyle, Farali Khan, Douglas Lim, Fauzi Nawawi, Fezrul Khan dan Eyka Farhana.

Polis Evo 3 mengisahkan tentang Inspektor Khai dan Inspektor Sani kembali dengan misi terbaru dan kali ini pasukan mereka disertai Inspektor Dani, Inspektor Julie dan Inspektor Dell yang mempunyai kepakaran berbeza.

Keadaan bertambah rumit apabila sasaran seterusnya adalah Inspektor Khai. Persahabatan Inspektor Khai dan Inspektor Sani diuji apabila menyedari suspek yang diburu mempunyai kaitan dengan kisah silam Inspektor Khai.

Terdahulu, Polis Evo (2015) mencatat rekod sebagai filem tempatan pertama menembusi kutipan box office lebih RM18 juta dan Polis Evo 2 (2018) memungut jumlah box office RM23juta.

Saksikan filem aksi terhebat tahun ini, Polis Evo 3 yang kini berada di pawagam dan jangan lupa menggunakan hashtag #PolisEvo #PolisEvo3 #PE3 bagi berkongsi pendapat mahupun keterujaan anda tentang filem itu.

Ikuti perkembangan terbaru serta klip-klip menarik Polis Evo 3 di TikTok, Instagram, Twitter, Facebook Astro Shaw.