PENYANYI terkenal, Siti Nordiana enggan mengangkat bendera putih meskipun ramai yang mengkritik mengenai kualiti nyanyiannya yang dikatakan makin merudum sejak akhir-akhir ini.

Menurut Siti Nordiana atau lebih mesra disapa Nana, dia menerima segala kritikan tersebut dan akan berusaha untuk memperbaiki setiap kelemahan.

“Saya terima segala kritikan yang dilemparkan dan saya akan cuba baik pulih dari segi suara serta stamina.

"Bila nyanyian kita dikritik ketika sesuatu persembahan, tak bermakna kita sudah tidak pandai menyanyi lagi.

“Mungkin ada sesuatu yang tak kena atau ini merupakan kesan-kesan COVID-19 yang pernah menyerang saya dahulu. Saya akan kaji semula dan buat post-mortem.

“Nama pun penyanyi. Terkucil itu perkara biasa,” katanya kepada MH.

Penyanyi lagu Paling Comel itu berkata sedemikian saat ditemui di majlis sidang media perkenalan peserta All Star Gegar Vaganza yang berlangsung di Pavilion, Kuala Lumpur pada Selasa.

Dalam pada itu, Nana turut memaklumkan dirinya telah berjumpa dengan doktor pakar untuk mendapatkan nasihat.

“Saya memang ada sedikit masalah dengan vocal chord. Boleh dikatakan saya ni diserang COVID-19 paling banyak. Hampir lima kali. Suka betul dia dengan saya.

“Saya sedang berusaha atasi masalah tersebut. Saya ada berjumpa dengan doktor bahagian telinga, hidung dan tekak (ENT) untuk periksa keadaan saya. Namun, sekarang semuanya sudah okey dah kini sedang menjalani proses pemulihan.

“COVID-19 memang beri kesan pada bahagian paru-paru. Kita jadi mudah penat dan pernafasan makin sempit. Ada kalanya kita rasa penat nak menyanyi dan suara jadi ketat.

“Saya kena buat voice cleanser. Jadi, dalam tiga bulan ini, ada ubat-ubatan yang perlu saya ambil,” ulasnya lagi.

Ditanya mengenai keputusannya untuk menyertai GV10 meskipun keadaan kesihatan bukan ditahap 100 peratus, Nana memberi tahu, ini merupakan caranya untuk menghargai program berkenaan yang telah banyak mengubah hidupnya.

“Saya masuk kerana mahu meraikan Gegar Vaganza yang ke 10 tahun. GV sudah banyak berjasa dengan saya. Setiap tahun mereka tak putus-putus panggil saya.

“Ini tanda saya hargai mereka. Jadi, kalau saya tak masuk, ia bermakna saya mengalah daripada awal.

“Lebih baik kita cuba daripada tak cuba langsung sebab takut. Saya dah bersedia nak berhadapan segala kemungkinan,” akhirinya.

Terdahulu, Nana merupakan antara 10 juara Gegar Vaganza yang akan bersaing semula di All Star Gegar Vaganza.

Sementara itu, lima peserta hot seats bakal dipilih untuk sama turut serta di program ini.

Program realiti nyanyian nombor satu negara ini juga masih mengekalkan barisan juri tetap iaitu Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz.

All Star Gegar Vaganza bakal bersiaran bermula 24 September ini disaluran Astro Ria dan boleh distrim di platform Astro Go. -Media Hiburan