SEJAK promo "Dendam Seorang Isteri" disiarkan, wujud pelbagai reaksi daripada peminat drama tempatan khususnya di media sosial.

Mana tidaknya, drama bersiri asal Korea Selatan "Temptation of Wife" ini sudah diadaptasi di beberapa buah negara dan pastinya mempunyai peminatnya yang tersendiri.

Jadi sudah tentu ia memberikan sedikit sebanyak memberikan debaran kepada barisan pelakon yang menjayakan drama bersiri tersebut.

Bagi Pelakon, Nad Zainal, meskipun telah membintangi puluhan drama dan merangkul pelbagai anugerah, dia mengakui bimbang untuk memainkan watak Kirana kerana para peminat mempunyai harapan yang tinggi terhadapnya.

“Drama ini ada ramai pengikut sebab ia ada banyak versi.

"Jadi saya takut sebenarnya apabila perbandingan mula dilontarkan, seperti membandingkan lakonan kami yang ketika itu baharu memulakan penggambaran.

“Pastinya kami telah lakukan yang terbaik dan berharap sangat para penonton berpuas hati dengan usaha lakonan kami,” katanya kepada Astro AWANI selepas sidang media Ramadan Astro pada Rabu.

Sementara itu, Fasha Sanda pula menjelaskan kesemua pelakon "Dendam Seorang Isteri" telah melakonkan watak dan peranan masing-masing dengan cara tersendiri.

Malah, tegas isteri Aidil Aziz ini, dia tidak mahu meniru cara persembahan pelakon asal sebaliknya menghidupkan watak Amira atau Neelisa dengan gayanya sendiri.

“Jalan ceritanya sahaja sama tapi kita olahkan mengikut versi kita, sebab kita tak mahu ambil bulat-bulat.

“Saya tak nak tiru dia (pelakon asal), tapi saya nak bawa cara saya,” katanya.

"Dendam Seorang Isteri" pimpinan Sharulezad Mohameddin dan diterbitkan oleh Radius One adalah adaptasi drama bersiri Korea popular yang berjudul "Temptation of Wife".

Selain Fasha dan Nad, drama yang sudah mula ditayangkan sejak 21 Mac itu juga dilakonkan oleh Wan Raja, Aidit Noh, Dian P. Ramlee, Roy Azman dan Amylea Azizan.