KUALA LUMPUR: Usaha mempromosikan Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) perlu dipergiat dan dilakukan secara meluas serta konsisten bagi menjadikan Malaysia sebagai hab destinasi penggambaran antarabangsa khususnya dari Hollywood.

Setiausaha Kehormat Persatuan Penerbit Filem (PFM), Zahrin Aris berkata, usaha itu memerlukan sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Tourism Malaysia, bagi membolehkan negara ini menjadi lokasi produksi filem antarabangsa.

"Kita juga perlu konsisten membuat promosi bukan hanya di 'location market', tetapi kita kena pergi ke beberapa buah negara lain untuk menjemput mereka (syarikat produksi antarabangsa) datang.

"Apabila mereka datang ke Malaysia, pelaburan ke dalam negara memang sangat besar berbanding filem tempatan, Jadi, perkara-perkara ini perlu diambil perhatian dan dititik beratkan oleh Finas," katanya di sini pada Rabu.

Beliau yang berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam Buletin Bernama Khas, terbitan Bernama TV memaklumkan, walaupun Malaysia masih menjadi lokasi penggambaran filem dari Asia, namun jumlahnya masih kecil.

FIMI merupakan usaha kerajaan untuk menarik pelabur dalam penerbitan filem dan televisyen bagi menjalankan aktiviti perfileman di negara ini dengan menawarkan 30 peratus rebat tunai dan tambahan lima peratus rebat jika memenuhi kriteria elemen kebudayaan Malaysia.

Sementara itu, Zahrin yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Penerbit Filem Malaysia Bhd (PFM Bhd) berkata, polisi dan dasar kerajaan berhubung perfileman juga harus dikaji semula bagi membangunkan industri perfileman negara.

Beliau berkata, beberapa kelonggaran dan kebebasan perlu diberikan dalam menghasilkan karya-karya tempatan

"Dasar-dasar ini telah lama, jadi ia harus diubah dengan segera supaya meningkatkan lagi secara drastik pembangunan perfileman tempatan. Jika dasar itu ubah, saya yakin dengan cepat industri kita akan naik," katanya.

-- BERNAMA