Video persembahan olahan semula lagu kebangsaan Singapura, ‘Majulah Singapura’ oleh veteran rock Singapura, Datuk Ramli Sarip menjadi bahan perbincangan ramai selepas tular di media sosial minggu lalu.


Video tersebut merupakan sedutan daripada sebuah raptai persembahan Hari Kebangsaan Singapura 2019 yang bakal berlangsung pada 9 Ogos ini.

Menurut laman Instagram ‘Papa Rock’ itu, olahan semula ini merupakan sebuah percubaan beliau dan pengarah, Dr Sydney Tan untuk memodenkan lagu kebangsaan itu.


Namun begitu, mereka tidak menjangka bahawa pihak berkuasa negara itu tertarik engan versi baharu itu dan akan didendangkan pada acara sambutan Hari Kebangsaan Singapura nanti.

Penyanyi berumur 66 tahun itu antara seniman dari negara jiran yang turut disayangi dan diminati oleh peminatnya di Malaysia khususnya ketika beliau bersama-sama dengan kumpulan Sweet Charity.

Pada tahun 2013, Ramli dikurniakan gelaran Datuk oleh Yang Dipertua Negeri Melaka sebagai penghargaan pada sumbangan besarnya dalam industri muzik tempatan.