HIBURAN
Wajah Misha Omar terpampang di Times Square, New York

Misha atau mesra disapa Kak Mitch menyifatkan detik bersejarah itu sebagai pengalaman yang tidak mungkin dilupakan sepanjang hidupnya. - Gambar IG @mishaomar
KUALA LUMPUR : Penyanyi tersohor tanah air, Misha Omar mencuri perhatian apabila wajahnya terpampang di papan iklan digital ikonik Times Square, New York sebagai salah satu figura kempen Spotify EQUAL, sebuah inisiatif yang mengangkat suara wanita dalam industri muzik.
Misha atau mesra disapa Kak Mitch menyifatkan detik bersejarah itu sebagai pengalaman yang tidak mungkin dilupakan sepanjang hidupnya.
Dalam perkongsian di Instagram peribadinya, beliau meluahkan rasa syukur dan terima kasih kepada platform penstriman Spotify, termasuk Spotify Malaysia dan Spotify Singapura atas peluang untuk meraikan kekuatan wanita melalui muzik.
“Sebagai wanita, setiap suara kita membawa seribu kisah tentang kekuatan, kasih sayang, dan kecekalan. Setiap kali kaki ini menginjak pentas, setiap bait lagu yang dinyanyikan, dan setiap halangan yang kita berjaya lalui, sebenarnya tanpa sedar, kita sedang membina jambatan untuk generasi wanita seterusnya bersinar dengan lebih terang,” ujar pelantun lagu Tiada Lagi Tangisan itu.Misha turut berkongsi bahawa selama 23 tahun bergelar anak seni, muzik menjadi medium untuk menyampaikan cinta dan kekuatan kepada para peminat.
"Momen bersejarah seperti ini menguatkan lagi kepercayaan Kak Mitch bahawa muzik bukan sekadar kerjaya; ia adalah legasi hati yang akan terus bersemi dan menyentuh jiwa seluruh pendengar," katanya
Beliau turut merakam penghargaan kepada label rakamannya, Sony Music Malaysia serta pasukan pengurusan yang setia bersama sepanjang perjalanan kariernya.
“Tanpa kasih sayang, sokongan dan kepercayaan, tidak mungkin kerjasama kita sampai ke usia 23 tahun bersama,” ujarnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami