BANGI: Mengurus kritikan dengan baik agar tidak 'cepat koyak' menjadi cabaran paling besar mereka yang terlibat dalam dunia hiburan hari ini terutama berhadapan komen negatif netizen di media sosial.

Walaupun kritikan sudah menjadi asam garam kehidupan selebriti namun tidak semua terbuka dan bersedia menerimanya, sehingga ada dalam kalangan mereka menghadapi masalah kemurungan.

Pengacara terkenal Awal Ashaari, 42, mengakui pada awal pembabitannya dalam dunia seni 20 tahun lepas, beliau sukar mengurus kritikan dan cepat memberi respons dengan penuh emosi terutama membabitkan 'periuk nasinya'.

Namun, apabila usia semakin matang dengan banyak pengalaman dikutip, reaksi pada komen-komen negatif atau kritikan dapat ditangani dengan lebih berhemah.

"Apabila kita letak emosi dalam perbuatan, ia menampakkan kita tidak matang dan benda itu akan makan diri kita semula.

"Sekiranya kita dapat tangani dengan cara betul, ia dapat memberi penyelesaian yang cukup mudah," kata pemilik nama Ahmad Awaluddin Ashaari ini.

Beliau berkata demikian pada Program Bual Bicara: Menangani Krisis, Membina Reputasi anjuran pelajar Sarjana Pengurusan Komunikasi (Kursus Komunikasi Krisis) di Dewan Perdana, Universiti Kebangsaan Malaysia baru-baru ini.

Suami kepada selebriti Scha Al-Yahya ini juga berkata bagi memperoleh kekuatan menghadapi kritikan dan komen negatif, beliau selesa mengambil pendekatan merujuk kepada individu terdekat antaranya isteri, keluarga dan juga rakan-rakan media yang lebih memahami ekosistem bidang penyiaran.

Walaupun kritikan sering dikaitkan dengan kelemahan, namun Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro Raqim Ahmad melihatnya sebagai sangat penting khususnya dalam konteks penambahbaikan penerbitan sesuatu program.

Ini kerana, maklum balas penonton yang mungkin sesetengahnya berbaur negatif namun ia sebenarnya turut membantu dalam memastikan kelangsungan sesuatu program yang diterima ramai dan tidak syok sendiri.

"... jika kita tak terbuka untuk penonton bagi maklum balas, kita ada masalah di situ... ia akan buat kita rasa terlalu selesa dan merasakan kita sahaja betul. Namun, kita juga kena seimbangkan dengan apa yang kita suarakan.

"Bagaimanapun, secara peribadinya, saya tak akan baca komen ketika program sedang berjalan. Kadang-kadang komen dan kritikan daripada penonton agak dahsyat, sekali gus memberi impak kepada emosi," katanya.

Berpengalaman hampir 20 tahun dalam bidang produksi selain berhadapan dengan pelbagai cabaran menerbitkan program-program besar di Astro antaranya Gegarvaganza, Big Stage dan The Masked Singer Malaysia, beliau melihat perkara paling penting menghadapi sesuatu kritikan adalah tidak panik dan cepat melatah terutama dalam zaman media sosial.

Selain itu, bagi menangkis kritikan penonton, pihaknya juga mempunyai pasukan pemasaran untuk menganalisis dan merumuskannya sebelum membuat sebarang penambahbaikan.

"Kita kena berehat sekejap, menilai dulu dan selalunya saya akan melihat dua sudut sama ada benda (krisis) dalam kawalan atau di luar kawalan kerana cara untuk kita tanganinya juga berbeza," katanya.

Selain Raqim, program bual bicara selama lebih sejam itu turut menampilkan usahawan terkenal Noor Neelofa Mohd Noor dengan dikendalikan moderato, Sudirman Mohd Tahir serta persembahan nyanyian Kaka Azraff.

-- BERNAMA