Skip to main content

Malaysia

IJN perluas akses pada rawatan jantung menerusi penjenamaan stesen MRT Raja Uda

Majlis pelancaran penjenamaan stesen MRT Raja Uda–Institut Jantung Negara disempurnakan Hannah di IJN. - Gambar IJN
Majlis pelancaran penjenamaan stesen MRT Raja Uda–Institut Jantung Negara disempurnakan Hannah di IJN. - Gambar IJN

Advertisement

Advertisement

KUALA LUMPUR: Institut Jantung Negara (IJN) secara rasmi melancarkan penjenamaan stesen Transit Aliran Massa (MRT) Raja Uda-IJN semalam yang menandakan pencapaian penting dalam usaha meningkatkan akses kepada perkhidmatan pakar penjagaan jantung serta memperkukuh hubungan antara pengangkutan awam dengan perkhidmatan kesihatan.

Menerusi kerjasama itu, nama IJN menjadi sebahagian daripada identiti stesen merentasi papan tanda, peta laluan dan pengumuman dalam tren di sepanjang Laluan MRT Putrajaya, sekali gus memberi panduan lebih jelas kepada pesakit, keluarga, pelawat, pelajar dan warga kerja yang menuju ke hospital itu.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IJN Datuk Dr Shaiful Azmi Yahaya dalam kenyataan berkata kerjasama itu menandakan satu lagi langkah penting dalam menjadikan perkhidmatan pakar penjagaan jantung lebih mudah diakses oleh masyarakat.

Advertisement

“Kami melakukan lebih daripada sekadar menghubungkan stesen MRT dengan hospital. Kami mewujudkan peluang untuk menghubungkan lebih ramai orang dengan perkhidmatan kesihatan,” katanya. 

Dr Shaiful Azmi berkata usaha untuk meningkatkan akses awam bermula pada 2022 menerusi pembinaan jambatan pejalan kaki merentas Sungai Bunus sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) IJN yang menyediakan laluan alternatif ke hospital melalui bangunan Yayasan Selangor.

Advertisement

“Sejak itu, jambatan itu telah memberikan manfaat kepada pelajar Kolej Universiti IJN, petugas hospital, pesakit dan orang awam termasuk mereka yang menggunakan pengangkutan awam,” katanya.

Meneruskan usaha itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan sokongan Datuk Bandar Kuala Lumpur telah memberi komitmen untuk menaja pembinaan laluan pejalan kaki berbumbung menuju ke IJN.

Beliau berkata laluan pejalan kaki yang dicadangkan itu bertujuan meningkatkan keselesaan, keselamatan dan kemudahan akses, khususnya bagi warga emas serta individu dengan pergerakan terhad.

“Kemudahan akses bukan sekadar tentang sampai ke sesuatu destinasi. Ia juga bermaksud memastikan perjalanan itu dapat dilakukan dengan selamat dan selesa.

“Jambatan pejalan kaki merentasi Sungai Bunus kami berlandaskan tujuan itu dan kami mengalu-alukan sokongan berterusan DBKL dalam menambah baik hubungan laluan pejalan kaki ke IJN,” katanya.

Dr Shaiful Azmi berkata selain meningkatkan akses ke hospital, kerjasama itu membuka peluang kepada IJN membawa pendidikan kesihatan jantung dan penjagaan kesihatan pencegahan lebih dekat kepada orang ramai.

“Dengan ribuan penumpang menggunakan rangkaian MRT setiap hari, IJN melihat potensi untuk memanfaatkan saluran komunikasi pengangkutan awam, platform maklumat digital dan aktiviti kemasyarakatan terpilih bagi meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan kardiovaskular,” katanya.

Inisiatif yang berpotensi dilaksanakan termasuk kempen pendidikan kesihatan jantung, aktiviti kesedaran, program saringan terpilih serta usaha menggalakkan gaya hidup lebih sihat dan aktif.

“Kami mahu orang ramai memahami penjagaan kesihatan jantung tidak seharusnya bermula hanya apabila mereka jatuh sakit. Sebaliknya, ia perlu bermula lebih awal melalui kesedaran, pengesanan awal dan langkah pencegahan,” katanya.

IJN turut menyatakan kesediaannya untuk meneroka kerjasama lebih luas dengan pentadbiran Wilayah Persekutuan dan DBKL bagi memperkukuh kesedaran mengenai kesihatan jantung serta penjagaan kesihatan pencegahan di seluruh Kuala Lumpur.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata kerjasama itu dialu-alukan bagi memudahkan urusan pesakit dan ahli keluarga untuk berkunjung ke hospital tersebut kerana nama IJN pada peta MRT membantu orang ramai mengenal pasti stesen yang betul.

“Namun, perjalanan tidak berakhir sebaik sahaja mereka turun dari tren. Kita juga perlu melihat bagaimana pesakit boleh sampai ke hospital, khususnya warga emas dan mereka dengan pergerakan terhad. Saya mengalu-alukan komitmen DBKL untuk menaja pembinaan laluan pejalan kaki berbumbung ke IJN.

“Saya juga mahu kita meneroka kerjasama dengan IJN dalam meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan jantung dan melaksanakan saringan awal di Kuala Lumpur. Kita perlu membantu orang ramai mengesan masalah kesihatan lebih awal dan bukan menunggu sehingga mereka memerlukan rawatan hospital,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) Datuk Mohd Zarif Hashim berkata kerjasama itu mencerminkan aspirasi syarikat untuk memanfaatkan potensi lebih besar Stesen MRT Raja Uda, dengan mengubahnya daripada sekadar lokasi transit kepada ruang yang mewujudkan peluang bermakna kepada perniagaan, selain memberikan manfaat lebih besar kepada penumpang dan masyarakat setempat.

“Stesen kami bukan sekadar tempat orang naik dan turun tren. Stesen-stesen ini sebahagian daripada komuniti di sekitarnya yang menghubungkan orang ramai dengan tempat kerja, perniagaan dan perkhidmatan penting.

“Dengan meletakkan nama IJN pada Stesen MRT Raja Uda, kami mewujudkan hubungan yang jelas dan berkekalan antara stesen itu dengan hospital tersebut,” katanya.

Pelancaran itu susulan pertukaran dokumen perjanjian penjenamaan stesen antara MRT Corp dengan IJN pada Ekspo Pengangkutan Asia (TXA) 2026 yang berlangsung dari 20 hingga 22 Okt di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Kerjasama itu mencerminkan aspirasi IJN menerusi slogan IJN Goes Beyond – IJN Bebas Batasan, yang bertujuan memperluas sumbangan institusi itu melangkaui rawatan berasaskan hospital melalui penambahbaikan akses, pendidikan awam, penjagaan kesihatan pencegahan dan kerjasama strategik.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement