PELAKON yang popular dalam filem Magic Mike, Channing Tatum, sering diundang sebagai tetamu pelbagai program bual bicara di Amerika Syarikat.

Namun, satu wawancara yang dilakukan baru-baru ini lebih istimewa kerana ia diacarakan oleh seorang wanita autisme dan situasi yang dialaminya begitu teruk sehingga beliau tidak boleh bercakap dengan jelas.

Carly Fleischmann, 21, telah menulis sebuah buku mengenai keadaan beliau dan kini bertindak sebagai hos program bual bicara di YouTube yang dipanggil 'Speechless'.

Untuk program ini, Fleischmann menggunakan bantuan komputer dan tablet untuk berkomunikasi.

"Saya ingin memperkenalkan anda kepada tetamu pertama saya… Channing Tatum," kata Fleischmann ketika memulakan program itu yang dimuat naik di YouTube.

Dalam temu bual santai itu, kedua-dua kelihatan seronok berbincang tentang zaman kecil Tatum, perkahwinan beliau dan juga apa beliau takuti.

"Adakah anda akan keluar dengan seorang wanita autisme berusia 21 tahun?" tanya Fleischmann.

"Ya, jika saya mendapat kebenaran daripada isteri saya," jawab Tatum sambil ketawa besar.

Dalam soalan yang berasingan, Tatum akui bahawa agak sukar untuk Hollywood menerima beliau secara serius pada awal kerjayanya.

"Malah, memang agak sukar untuk orang menerima saya secara serius pada bila-bila masa,” kata Tatum.

Channing Tatum diaju pelbagai soalan peribadi dalam program bual bicara 'Speechless'. -Gambar: YouTube

Pada akhir rancangan itu, Tatum diberi dua kotak.

“Dalam kotak itu terdapat benda yang anda takuti. Oleh kerana saya sendiri sedang berdepan dengan situasi yang saya takuti iaitu duduk di sebelah anda, saya mahu anda hadapi benda yang anda takut juga,” kata Fleischmann.

Tatum terus menjerit apabila membuka kotak itu dan melihat satu anak patung.

“Itu adalah anak patung yang menakutkan. Boleh ke anda tidur jika anak patung ini ada di sebelah anda,” kata Tatum.

Wawancara itu telah mencapai kurang daripada sejuta tontonan di YouTube sejak ia dimuat naik pada 29 April.

Beliau juga menerima banyak maklum balas positif daripada penonton yang mengatakan bahawa beliau menjalankan tugas sebagai hos program bual bicara dengan baik.

"Ini adalah satu temu bual bersama Channing yang terbaik saya pernah lihat. Beliau begitu santai, " tulis Sofi di YouTube.

Mark Humphrey menulis: "Syabas kerana berdepan dengan ketakutan anda."

Satu lagi YouTuber dengan nama 'TheSacko' mahu Fleischmann menemu bual Presiden Amerika Syarikat Barack Obama dalam episod seterusnya.