Pemain drum kumpulan Search, Yazit Ahmad dilaporkan telah menunjukkan perkembangan positif selepas dikeluarkan dari zon merah selepas dirawat di Unit Rawatan Rapi di Hospital Kuala Lumpur.

Menurut pemain bass XPDC, Zuar, Yazit mampu memberi respon ketika beliau melawatnya di hospital, petang tadi.

“Yazit sempat buka mata ketika saya sampai ... nampak dia sedar kehadiran saya. Walaupun dia tidak bercakap, saya bersyukur bila nampak dia sedar," kata Zuar ketika dihubungi Astro AWANI.

Yazit dilaporkan dibawa ke hospital awal pagi Selasa selepas mengadu sesak nafas selepas menunaikan solat Subuh.

BACA: Yazit Search mengadu sesak nafas, dikejar ke HKL

Menurut anaknya, Sheeqa, doktor mengesahkan Yazit menghidap jangkitan paru-paru dan doktor terpaksa merehatkannya.

Sheeqa turut mengesahkan keadaanya stabil dan tidak membimbangkan.

Yazit disahkan mengidap penyakit buah pinggang beberapa tahun lalu yang membataskan pergerakan beliau.