Ahli perniagaan dan aktivis masyarakat, Zakaria Abd Hamid dilantik sebagai pengerusi baharu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), berkuat kuasa hari ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Saifuddin berkata turut dilantik ialah Presiden Yayasan KRU Datuk Norman Abdul Halim sebagai Timbalan Pengerusi FINAS.

"Ahli lembaga FINAS yang baharu akan diumumkan secepat mungkin dan ini adalah sebahagian langkah kita untuk menambah baik tugas-tugas FINAS," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir mengadakan tinjauan di program Sukarelawan COVID-19 Pertubuhan Alumni Mahasiswa Turun Parlimen (Mantap) di Universiti Kebangsaan Malaysia, di sini malam ini.

Sementara itu Kementerian Komunikasi dan Multimedia dalam satu kenyataan berkata Zakaria yang mempunyai Sarjana Perancangan Bandar daripada California State University, Amerika Syarikat menggantikan Datuk Gerald Hans Isaac yang telah berkhidmat sejak April 2019.

Norman pula mempunyai pengalaman luas dalam industri media dan hiburan di peringkat tempatan dan antarabangsa.

"KKMM yakin bahawa mereka akan menjalankan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan berusaha untuk membangunkan lagi FINAS," kata kenyataan itu.

Pelantikan kedua-dua mereka yang berkuat kuasa hari ini adalah untuk tempoh dua tahun .

Dalam pada itu Saifuddin berkata satu pasukan petugas akan ditubuhkan yang bertujuan untuk merangka tindakan masa depan termasuk menyediakan pelan pemulihan ekonomi kepada karyawan dan penggiat seni tempatan yang terjejas dengan pandemik COVID-19.

Katanya pasukan petugas itu akan dipengerusi oleh beliau sendiri dengan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Nancy Shukri selaku pengerusi bersama serta dianggotai pemegang kepentingan daripada pelbagai agensi termasuk tokoh tertentu dan juga wakil masyarakat sivil.

Beliau berkata pada Rabu lepas kementerian itu telah mengadakan pertemuan dengan Kementerian Kewangan untuk menyampaikan input berkenaan usaha menghidupkan semula industri kreatif negara khususnya melibatkan pemain-pemain kecil.

"Minggu lalu kita sudah berikan kebenaran untuk memulakan filem dokumentari dan iklan selepas raya, bagi pemain-pemain besar mereka mungkin mampu untuk restart (menghidupkan semula aktiviti mereka dengan ) segera.

Tapi bagi pemain-pemain kecil... dua tiga bulan mereka tidak ada apa-apa pendapatan, jadi nak hidupkan semula itu memerlukan sedikit bantuan, itu antara kita cadangkan kepada kerajaan , kita tunggulah mudah-mudahan akan ada berita baik untuk penggiat seni," katanya.

Terdahulu Saifuddin melawat dan diberikan taklimat mengenai Sukarelawan COVID-19 Mantap yang bertujuan untuk menyediakan peralatan perlindungan diri (PPE) kepada petugas perubatan khususnya hospital di Lembah Klang.

Program itu dijalankan oleh sukarelawan yang terdiri daripada lebih 20 pelajar yang tidak dapat pulang ke kampung dan juga pelajar mobilisasi dari Indonesia yang terkandas di negara ini sejak dua bulan lepas kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

-- BERNAMA