Jenazah tujuh sekeluarga yang terkorban dalam kemalangan di Jalan Keramat Pulai-Cameron Highlands dekat Ipoh, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Abror Kampung Badlishah di sini, malam ini.

Semua mereka dikebumikan di dalam satu liang bermula kira-kira jam 7.20 malam dengan kawasan perkuburan itu dipenuhi hampir 1,000 orang terdiri daripada ahli keluarga, saudara-mara, kenalan serta penduduk kampung.

Terdahulu, semua jenazah itu yang dibawa dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh tiba di kampung berkenaan jam 6.11 dan disolatkan di perkarangan masjid.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang Selasa itu, semua mereka maut di tempat kejadian selepas Perodua Alza dinaiki terbabas lalu bertembung dengan sebuah treler di laluan bertentangan.

Mereka dalam perjalanan dari Cameron Highlands menuju ke Simpang Pulai untuk pulang ke Kedah selepas bercuti di tanah tinggi berkenaan.

BACA: Tujuh maut, tiga cedera kemalangan di Jalan Keramat Pulai-Cameron Highlands

BACA: Polis sedang kenal pasti identiti 7 maut dalam kemalangan turun Cameron Highlands

BACA: Mangsa kemalangan maut Jalan Keramat Pulai-Cameron Highlands dikenal pasti


Mereka yang meninggal dunia ialah pemandu Perodua Alza, Mohd Zairul Mat Isa, 34; ibunya, Fatimah Mat Isa, 68; isterinya, Nuratiqah Abd Hamid, 30; dan anak mereka, Nur Qaseh Damia, 4.

Tiga lagi yang meninggal dunia ialah Zulkifli Suib, 49; isterinya, Hasliza Mahmud, 40; dan anak mereka, Mohd Alif Firdaus, 3.

Tiga yang cedera pula ialah anak Mohd Zairul, Muhammad Haziq Zikri, 9; dua anak Hasliza, Firash Mikhael Azrie Syah, 11, dan seorang lagi hanya dikenali sebagai Apit, 16.