GEORGE TOWN: Lebih 1,500 ekor babi dimusnahkan di sebuah ladang ternak di Perkampungan Valdor, di Seberang Perai Selatan (SPS) dalam usaha membendung penularan penyakit demam babi Afrika (ASF).

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Sayuthi Bakar berkata semua babi yang dimusnahkan itu membabitkan ladang pertama yang dikesan terdapat kes jangkitan ASF.

"Setakat semalam tiada kes ASF yang baharu di ladang-ladang ternak babi dan buat masa sekarang kes (ASF) masih dalam kawalan yang kita masih kendalikan di peringkat daerah sahaja kerana setakat ini ia libatkan daerah SPS sahaja," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Kempen Hari Tanpa Tunai Bagi Jabatan dan Agensi Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang dirasmikan oleh Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Mohd Sayuthi berkata Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri sedang memantau perkembangan kes ASF dan akan mengambil tindakan segera bagi memastikan penularan tidak merebak ke kandang-kandang lain di negeri ini.

Beliau berkata ladang ternak babi kedua masih di peringkat pemantauan dan pihaknya masih menunggu keputusan JPV.

Katanya ladang itu juga tidak mempunyai ruang untuk penanaman bangkai babi yang dijangkiti ASF.

"Ladang itu ada lebih 2,500 ekor babi iaitu bilangan lebih besar namun saiz ladang sedikit kecil," katanya.

Sehingga Jumaat lepas, dua ladang ternak babi di Perkampungan Valdor ditutup ekoran penularan kes ASF.

-- BERNAMA