Polis menahan 10 individu termasuk dua wanita dan seorang warga Indonesia yang terlibat dalam mengugut dan mengancam Pengarah Jabatan Penguatkuasa dan Keselamatan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Mereka bertindak menyimbah cat merah dan membakar mercun di rumah pengarah terbabit dalam dua kejadian pada 28 April dan 13 Mei lalu.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor SAC Fadzil Ahmat kesemua suspek yang berusia antara 19 dan 57 tahun ditahan di dalam dua tangkapan berasingan pada 15 dan 17 Mei lepas.

“Daripada pengakuan awal, suspek menyatakan telah diupah untuk menyerang rumah mangsa. Motif dipercayai kerana tindakan tegas diambil pihak MPS bagi menangani masalah pembuangan sampah di tapak pelupusan haram di Kampung Sungai Tua Batu Caves.

“Pihak polis juga meminta seorang lelaki bernama Jafni Abddulah@ Mohd Yusoff, atau digelar sebagai Man Puchong, untuk hadir dengan segera berjumpa pegawai penyiasat kes di JSJ IPD Gombak bagi membantu siasatan.

“Pihak polis tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas ke atas individu atau kumpulan yang mengambil pendekatan kekerasan dan membahayakan orang ramai bagi menyelesaikan sesuatu masalah atau isu,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Suspek yang digelar Man Puchong diminta tampil ke balai polis untuk diambil keretangan bagi membantu kes ugut Pengarah MPS. - Foto PDRM

Mengulas lanjut, Fadzil berkata kesemua tangkapan masih dalam tahanan reman untuk siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan (bencana dengan api) dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan (bencana).

Suspek mengakui telah diupah untuk menyerang mangsa dengan menyimbah cat merah dan membakar mercun di rumahnya. - Foto PDRM