Sepuluh pemandu teksi digantung lesen selama tiga bulan bermula 1 April ini oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) kerana tidak menggunakan meter tambang hasil maklumat melalui rakaman video daripada pengguna teksi di ibu negara.

Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal berkata pengusaha teksi itu juga diberi amaran tindakan lebih keras termasuk menarik balik lesen mereka sekiranya kesalahan itu diulangi.

"SPAD serius mahu mengambil tindakan tegas terhadap pemandu teksi yang menyeleweng dan kami tidak teragak-agak untuk menggantung lesen pemandu teksi yang penyangak ini apabila didapati bersalah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas beliau, SPAD akan terus berusaha membanteras pemandu teksi tidak bertanggungjawab yang enggan menggunakan meter tambang kerana merosakkan nama baik semua pemandu teksi.

SPAD juga katanya tegas dengan pendirian mahu pengusaha teksi mengambil tanggungjawab dan menanggung tindakan pemandu-pemandu mereka.

Ini termasuk menunjukkan langkah-langkah yang diambil untuk menyaring, memantau, melatih dan mengambil tindakan disiplin terhadap pemandu yang enggan mematuhi peraturan.

Menurut Mohd Nur Ismal lagi, pihaknya akan terus menggalakkan kerjasama dan sokongan daripada orang ramai bagi membantu agensi itu menjalankan peranannya.

Beliau bagaimanapun mengingatkan pengguna teksi supaya mengutamakan keselamatan ketika berurusan dengan pemandu teksi.

"Biarpun kami galakkan mereka mengirimkan bukti rakaman video, kami minta mereka meletakkan keselamatan sebagai keutamaan dan berhati-hati semasa membuat rakaman video," katanya.

Aduan kepada SPAD boleh dibuat melalui Twitter @aduanSPAD atau e-mel ([email protected]) dan talian aduan (1-800-88-7723).