KUALA LUMPUR: Seramai 100 lagi anggota ditambah terdiri daripada Jabatan Imigresen dan Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi mengesan 130 tahanan yang lolos dari pusat tahanan di Depot Imigresen di Bidor, Perak.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Ruslin Jusoh berkata kesemua anggota itu telah diatur gerak pada pagi ini untuk meneruskan operasi pencarian.

Beliau berkata 275 anggota daripada pelbagai agensi seperti imigresen, PGA dan Jabatan Sukarelawan telah dikerahkan sejak malam tadi untuk mengesan tahanan berkenaan.

"Jabatan Imigresen dengan kerjasama beberapa agensi lain sedang giat menjalankan operasi bagi menangkap semula 130 tahanan dari 131 tahanan yang melarikan diri pada 9.50 malam tadi.

"Seorang tahanan telah disahkan meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ruslin memohon jasa baik orang awam yang mempunyai maklumat terhadap tahanan yang melarikan diri, diminta menghubungi Bilik Gerakan Depot Imigresen Bidor di talian 05-4348736, Balai Polis Bidor (05-4342222) dan Balai Polis Tapah (05-4011222).

Malam tadi seramai 131 pendatang tanpa izin telah melarikan diri dari blok lelaki Depot Tahanan Imigresen Bidor, Perak.

Hari ini, Ketua Polis Daerah Tapah Supt Mohd Naim Asnawi dilapor berkata daripada jumlah itu, 115 orang merupakan etnik Rohingya, manakala 16 lagi warga Myanmar.

-- BERNAMA