KUCHING: Sesi Persekolahan bagi sekolah rendah melibatkan sekolah rendah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan di Sarawak akan bermula Isnin, 8 Mac 2021.

Keputusan dibuat hasil perbincangan melibatkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri(JPBN) Sarawak bersama Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) mewakili Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Mesyuarat telah memutuskan 1,045 buah sekolah rendah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan seluruh negeri Sarawak dibenarkan beroperasI secara bersemuka mulai 8 Mac 2021.

"Ia melibatkan penambahan 231 buah sekolah rendah di Sarawak yang dibenarkan untuk beroperasi secara bersemuka berbanding 814 buah sekolah pada 1 Mac 2021," jelas JPBN Sarawak menerusi kenyataan medianya, pada Jumaat.

Keputusan berkenaan diambil setelah penilaian risiko dibuat dan memenuhi Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah dalam Norma Baharu 2.0 yang dikeluarkan oleh KPM.

Bagaimanapun  220 buah sekolah rendah di kawasan berisiko tinggi penularan COVID-19 masih belum beroperasi sehingga 14 Mac 2021.

Ia melibatkan daerah Selangau, Betong, Meradong, Kuching, Samarahan, Kapit, Bintulu, Miri dan Sibu yang kekal berstatus Merah.