Skip to main content

Malaysia

11 lelaki didakwa jadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Vinod

SEPANG, July 24 -- Eleven men were brought before the Sessions Court here today on charges of being members of an organised crime syndicate known as "Vinod Gang."  No plea was recorded after the charges were read before Judge Husna Dzulkifly, as the case falls under the jurisdiction of the High Court.  All 11 are accused of being members of the syndicate in Bandar Rimbayu, Telok Panglima Garang, between April 2024 and June 27, 2026, under Section 130V(1) of the Penal Code.  --fotoBERNAMA (2026) COPYRIGHT RE
Tertuduh didakwa menjadi ahli kumpulan Geng Vinod di Bandar Rimbayu, Telok Panglima Garang antara April 2024 hingga 27 Jun 2026. - Foto Bernama
Advertisement

SEPANG: Sebanyak 11 lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang yang dikenali sebagai Geng Vinod, dari dua tahun lepas. 

Mereka ialah Muhammad Vinod Saktivel, 30 yang dipercayai ketua kumpulan itu, M. Puvaneswaran, 34, Lawrence Alfred, 34, G. Sanggeethan, 31, M. Naviedran, 29, S. Sri Tharan, 27, M. Surenthar, 27, N.A.N Viknesvaran, 27, J.M Kishaan, 24, R. Shervinkumar, 23, dan T. Saarvin, 21.

Tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Husna Dzulkifly kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mereka didakwa menjadi ahli kumpulan itu di Bandar Rimbayu, Telok Panglima Garang antara April 2024 hingga 27 Jun 2026 dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Chow Siang Kong dan Muhammad Syahrezal Mohd Shukri manakala lelaki tersebut diwakili peguam T. Mishant dan S. Devan.

Mahkamah menetapkan 14 Sept untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, kesemua mereka tiba di pekarangan mahkamah pada kira-kira 9 pagi dengan kawalan keselamatan ketat oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sebelum ini, Pengarah JSJ Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata kumpulan itu dipercayai aktif dalam pelbagai jenayah kekerasan termasuk rompakan berkumpulan, cubaan bunuh, rusuhan bersenjata, menyebabkan kecederaan menggunakan senjata serta khianat.

Penahanan ahli kumpulan itu menerusi Ops Rapido yang diketuai JSJ Bukit Aman dengan kerjasama JSJ Selangor pada 23 dan 24 Jun, menyelesaikan 21 kes serta melumpuhkan satu sindiket rompakan berkumpulan bersenjata yang aktif di Selangor.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement