HYDERABAD: Sekurang-kurangnya 11 orang maut dalam kejadian banjir kilat di wilayah Jammu dan Kashmir yang ditadbir India susulan hujan berterusan sejak Sabtu malam.
Menurut laporan media tempatan, daerah Rajouri dan Poonch merupakan kawasan paling teruk terjejas.
Kerosakan harta benda yang meluas turut dilaporkan, manakala usaha memindahkan penduduk ke kawasan lebih selamat sedang dijalankan di beberapa bahagian Jammu dan Kashmir berikutan paras sungai yang semakin meningkat dan mengancam untuk memburukkan lagi keadaan.
Di utara Kashmir, pentadbiran daerah Kupwara menggesa penduduk serta pelancong supaya sentiasa berwaspada susulan ramalan cuaca buruk dari 19 hingga 23 Julai.
Wilayah Himalaya yang terkenal dalam kalangan pelancong kerana keindahan alam semula jadinya telah mengalami kerosakan besar akibat tanah runtuh dan banjir sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
"Banjir kilat di seluruh wilayah Pir Panjal, khususnya di Rajouri dan Surankote (di Poonch), telah menyebabkan kemusnahan yang meluas. Kehilangan nyawa serta kerosakan terhadap infrastruktur awam dan harta persendirian amat membimbangkan," kata ahli politik Kashmir, Mehbooba Mufti, menerusi hantaran di platform X pada Ahad.
"....Kerajaan mesti memastikan bantuan kecemasan, operasi menyelamat serta usaha pemulihan diberikan segera kepada semua mangsa yang terjejas," katanya.
Sementara itu, di negeri Nagaland di timur laut India yang bersempadan dengan Myanmar, tujuh orang dikhuatiri maut selepas kejadian tanah runtuh memusnahkan 13 rumah di bandar Mon.
Ahli Parlimen Nagaland S. Phangnon Konyak menerusi hantaran di media sosial berkata bahawa berlaku "kemusnahan meluas di beberapa kawasan" selepas fenomena hujan lebat luar biasa pada pagi Ahad.
Beliau berkata operasi menyelamat terjejas akibat hujan berterusan.
Negeri Uttarakhand turut mengalami gangguan lalu lintas di banyak kawasan, termasuk ibu negerinya, Dehradun susulan hujan lebat.
Jabatan Meteorologi India mengeluarkan amaran merah berhubung hujan lebat di negeri Himachal Pradesh yang berjiran pada Isnin.
Uttarakhand dan Himachal Pradesh turut mengalami kerosakan infrastruktur yang teruk serta kehilangan nyawa ketika musim monsun tahun lepas.
-- BERNAMA