Skip to main content

Malaysia

12 individu ditahan, polis rampas 600 kg dadah

[TB]_sindiket pengedaran dadah IPK Selangor 6_ASTRO AWANI_SHAHIR OMAR
Shazeli bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini pada Rabu. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
Advertisement

SHAH ALAM: Dua belas individu ditahan dalam enam serbuan berasingan  di sekitar Lembah Klang dan Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, antara 4 dan 17 Ogos lalu dengan nilai keseluruhan rampasan dadah, dianggarkan RM37.5 juta.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, jumlah dadah itu mampu menjejaskan kira-kira 2 juta penagih sekiranya terlepas ke pasaran, dengan anggaran tiga gram bagi setiap individu.

Katanya, dalam serbuan itu polis menahan tiga rakyat tempatan termasuk dua wanita dan sembilan rakyat asing.

Menurutnya, siasatan mendapati sembilan daripada suspek warga asing terbabit memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial dan dipercayai berperanan sebagai keldai dadah.

"Secara keseluruhannya, kita berjaya merampas bunga ganja sebanyak 96,151 kilogram (kg), syabu 408,63 kg, heroin 87.98 kg dan kokain 7.72 kg dengan berat keseluruhan kira-kira 600 kg.

"Dalam serbuan ini, kita turut menggagalkan cubaan membawa masuk dan keluar dadah melalui Terminal KLIA dalam tempoh berkenaan, membabitkan tiga warga asing yang ditahan selepas bagasi mereka dikesan mengandungi dadah.

"Tiga kes berkenaan membabitkan rampasan bunga ganja seberat keseluruhan 96 kilogram dan kokain seberat 7.7 kilogram, dengan nilai keseluruhan kira-kira RM8.7 juta," jelasnya.

"Siasatan mendapati terdapat individu yang dipercayai direkrut menerusi media sosial seperti WhatsApp dan Telegram sebelum diminta mengambil bagasi dan membawanya ke negara lain," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini pada Rabu.

Menurut Shazeli, individu terbabit dipercayai direkrut menerusi tawaran pekerjaan di media sosial sebelum diminta mengambil bagasi untuk dibawa ke negara lain.

"Ada antara mereka yang mungkin tidak mengetahui kandungan bagasi berkenaan. Sebab itu orang ramai perlu berhati-hati supaya tidak terjebak sebagai keldai dadah.

"Jangan mudah terpedaya dengan janji upah lumayan kerana tindakan itu boleh mengundang implikasi perundangan yang sangat serius," katanya.
 

Must Watch Video

Advertisement