SEPANG: Sebanyak 12 sektor membabitkan sebahagian besar negeri-negeri di Semenanjung masih belum dapat menyelesaikan status persempadanan darat masing-masing.

Menurut Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan, penentuan jajaran sempadan yang jelas antara negeri-negeri penting kerana akan membolehkan aktiviti penguatkuasaan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) selain pembahagian hasil-hasil sumber asli.

"Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) sedang menguruskan perkara ini. Saya telah meminta JUPEM untuk mempercepatkan proses ini," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian Sempadan Darat Antara Negeri Selangor Dengan Negeri Sembilan di sini hari ini.

Tambahnya lagi, banyak perkara sukar untuk diselesaikan selagi isu persempadanan tersebut gagal dimuktamadkan.

Perjanjian Sempadan Darat di antara Negeri Selangor dan Negeri Sembilan hari ini ditandatangani Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Exco Pembangunan Luar Bandar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Ahmad yang mewakili Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Rosli Isa, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Sembilan, Datuk Muhamad Nahar Mohd Sidek dan Ketua Pengarah Ukur dan Pemetaan Malaysia, Mohammad Zaki Mohd Ghazali.

Sementara itu Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menyifatkan Perjanjian Persempadanan Darat yang dimeterai oleh kedua-dua kerajaan negeri itu hari ini mengesahkan jajaran sempadan yang sekian lama menimbulkan isu dan merangkumi jajaran seluas 111.9 kilometer.

Ia bermula dari titik pertemuan sempadan di antara tiga negeri iaitu Negeri Sembilan, Selangor dan Pahang serta berakhir di muara Sungai Sepang.

Ini katanya adalah perjanjian ketiga membabitkan kedua-dua pihak selepas dua perjanjian telahpun di dimeterai pada 2015.

Bagaimanapun jelasnya kerajaan Negeri Selangor masih lagi perlu menyelesaikan beberapa lagi isu persempadanan dengan beberapa buah negeri lagi.

Ia termasuklah pertikaian yang sentiasa menimbulkan perdebatan iaitu membabitkan beberapa kawasan di Kuala Lumpur.

"Jangkaan saya untuk di Kuala Lumpur walaupun tidak ada sempadan laut berbanding dengan Negeri Sembilan dan Perak, kita rasa ia akan lebih rumit.

"Dulu Kuala Lumpur adalah sebahagiannya Selangor. Perumahan dan pembangunan yang telah berakar umbi di sana akan beri kesan. Namun saya percaya Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) ada formula untuk memastikan tidak berlaku kerosakan besar kepada hak milik, harta dan sebagainya," katanya pada sidang media selepas majlis tersebut.

Jelasnya lagi ia membabitkan beberapa kawasan termasuk sebahagian Ampang, Keramat, Gombak dan Selayang.

Selain Kuala Lumpur, Putrajaya juga adalah antara yang perlu diselesaikan isu persempadanan walaupun ia dilihat lebih mudah berbanding Kuala Lumpur.