Bekas ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff, merupakan antara 12 individu yang mengangkat sumpah jawatan sebagai Senator di Dewan Negara hari ini.

Upacara dilakukan di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri S A Vigneswaran.

Turut mengangkat sumpah, Setiausaha DAP Pulau Pinang, Lim Hui Ying; Anggota Jawatankuasa DAP Perak, Nga Hock Cheh; Setiausaha DAP Sarawak, Alan Ling dan Pengarah Pendidikan DAP Sabah, Adrian Banie Lasimbang - semuanya mewakili parti itu.

Manakala Senator baharu daripada PKR termasuk Setiausaha Jawatankuasa Pilihan Raya PKR, Ismail Yusof; Ketua Cabang PKR Bera, Monalan Mohamad dan bekas ahli Parlimen Lumut, Mohamad Imran Abd Hamid.

Parti Amanah Negara (Amanah) pula diberikan dua kerusi Senator iaitu kepada Husam Musa dan AJK Amanah Pusat, Raj Munni Sabu atas lantikan Yang di-Pertuan Agong.


Bagaimanapun, Husam tidak hadir pada majlis mengangkat sumpah hari ini kerana sedang menunaikan ibadah Haji.

Beliau dijadual mengangkat sumpah pada satu tarikh yang ditetapkan kemudian.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Terengganu, Datuk Razali Idris dan Ketua PPBM Bahagian Gelang Patah, Nasir Hashim mewakili parti itu di Dewan Negara.

Sementara itu, Theodore Douglas Lind, yang merupakan peguam kanan, juga dilantik sebagai Senator.

Kedua-dua Hui Ying, adik kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, dan Yusmadi dilantik oleh Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.

Manakala Nga dan Ismail pula adalah lantikan oleh Dewan Undangan Negeri Perak.

Pelantikan mereka adalah bagi tempoh tiga tahun.

Ini menjadikan anggota Dewan Negara bertambah menjadi 68 Senator dengan dua lagi kerusi masih kosong.

Walaupun dengan pelantikan ini, Pakatan Harapan masih belum menguasai majoriti Dewan Negara apabila ketika ini terdapat 32 Senator mewakili Barisan Nasional dan tiga senator Pas daripada keseluruhan 68 Senator.

Sementara itu, dalam ucapannya selepas majlis yang berlangsung pada 10 pagi tersebut, Vigneswaran mengingatkan Anggota Dewan Negara yang baru dilantik supaya melaksanakan proses demokrasi berlandaskan keperibadian yang tinggi dengan pemikiran terbuka serta rasional.

"Menjadi harapan saya agar Yang Berhormat yang baharu mematuhi ikrar taat setia seperti mana yang dilafazkan sebentar tadi, terutama berkaitan prinsip-prinsip yang termaktub dalam Rukun Negara yang menekankan keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang serta keperibadian mulia yang menjadi amalan raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.

“Selanjutnya saya juga percaya bahawa Yang Berhormat pada pagi ini sebagai Anggota Dewan Negara akan membantu ke arah memperkasakan lagi imej Parlimen sebagai institusi perundangan yang berwibawa dan disanjung tinggi di persada antarabangsa," katanya.