Skip to main content

Malaysia

12,176 warga Myanmar dihantar pulang setakat Oktober

KDN menjelaskan, urusan penghantaran pulang warga asing tanpa dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah bergantung kepada kerjasama negara asal bagi mengesahkan identiti dan kewarganegaraan mereka. - Foto fail/BERNAMA
KDN menjelaskan, urusan penghantaran pulang warga asing tanpa dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah bergantung kepada kerjasama negara asal bagi mengesahkan identiti dan kewarganegaraan mereka. - Foto fail/BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) merekodkan seramai 12,176 warga Myanmar dihantar pulang ke negara asal dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini sehingga 31 Oktober lalu.

Jumlah itu merangkumi warga Myanmar yang kewarganegaraannya telah disahkan oleh negara asal dan bukan merujuk secara khusus kepada etnik Rohingya.

Menurut KDN, daripada jumlah berkenaan, 1,476 tahanan warga Myanmar dihantar pulang pada 29 September lalu menerusi operasi penghantaran pulang secara besar-besaran menggunakan kapal Tentera Laut Myanmar.

Advertisement

Perkara itu dinyatakan dalam jawapan bertulis kementerian berhubung soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) mengenai jumlah etnik Rohingya di Malaysia serta perkembangan penghantaran pulang mereka ke Myanmar.

Berdasarkan data Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), seramai 133,400 etnik Rohingya berdaftar sebagai pelarian dan pemohon suaka di Malaysia sehingga 30 September lalu.

Advertisement

Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) merekodkan 6,294 etnik Rohingya berada di Depot Tahanan Imigresen di seluruh negara setakat 31 Oktober.

Jumlah itu merupakan sebahagian daripada keseluruhan 11,208 tahanan warga Myanmar yang ditempatkan di depot berkenaan.

KDN menjelaskan, urusan penghantaran pulang warga asing tanpa dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah bergantung kepada kerjasama negara asal bagi mengesahkan identiti dan kewarganegaraan mereka.

Bagi mempercepatkan proses berkenaan, KDN menyelaras usaha bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Luar Negeri (KLN) menerusi rundingan dengan kerajaan Myanmar, termasuk berkaitan pengeluaran dokumen perjalanan serta penerimaan semula rakyat negara itu.

Sementara itu, kemasukan etnik Rohingya ke Malaysia dikenal pasti berlaku antaranya melalui laluan darat dan laut yang tidak diwartakan sebagai pintu masuk rasmi negara.

KDN berkata, kegiatan itu turut membabitkan rangkaian sindiket penyeludupan migran serantau yang mengatur perjalanan dari Myanmar atau Bangladesh melalui negara transit sebelum memasuki Malaysia, dengan laluan sebenar hanya dapat dikenal pasti menerusi siasatan dan semakan rekod pihak berkuasa.

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement