KUALA LUMPUR: Penduduk di beberapa kawasan di Perak, Pahang dan Sabah dinasihatkan berwaspada susulan amaran ribut petir, hujan lebat serta angin kencang yang dijangka berterusan sehingga 1 tengah hari ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan keadaan cuaca tidak menentu itu melibatkan beberapa daerah di ketiga-tiga negeri berkenaan.
Di Perak, kawasan yang berisiko mengalami cuaca buruk ialah Hulu Perak dan Kuala Kangsar.
Sementara itu, di Pahang, amaran berkenaan melibatkan kawasan Pekan dan Kuantan.
Di Sabah, beberapa kawasan di Pantai Barat dijangka terjejas termasuk Ranau, Kota Belud, Tuaran dan Kota Kinabalu.
Amaran sama turut meliputi kawasan Sandakan yang merangkumi Telupid, Paitan, Labuk dan Sugut, Sandakan serta Kinabatangan.
Selain itu, Kudat termasuk Kota Marudu turut disenaraikan dalam amaran cuaca berkenaan yang berkuat kuasa sehingga 1 tengah hari ini.
Orang ramai di kawasan terlibat disaran mengambil langkah berjaga-jaga, terutama ketika melakukan aktiviti luar serta memandu dalam keadaan hujan lebat dan angin kencang.