IPOH: Kapal tangki MT MIDAS yang terlibat dalam insiden pelanggaran tebing darat dan terkandas berhampiran Taman Rekreasi MADANI Esplanade Wing, Lumut semalam telah berjaya ditarik keluar dari kawasan kejadian.
Jabatan Laut Malaysia (JLM) dalam kenyataan memaklumkan, setakat awal pagi ini, kapal berkenaan berlabuh di perairan berhadapan Tanjung Batu Agas, Lumut.
“Sebuah bot tunda turut ditempatkan dalam keadaan siap siaga di lokasi kapal berlabuh sebagai langkah berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang keperluan bantuan kecemasan,” menurut kenyataan itu.
JLM memaklumkan, pihaknya turut melantik pegawai penyiasat kemalangan kapal bagi menjalankan siasatan berhubung insiden tersebut, termasuk meneliti faktor yang menyumbang kepada kejadian serta aspek keselamatan dan pematuhan peraturan pelayaran yang berkuat kuasa.
Menurut kenyataan itu, pelantikan tersebut merupakan sebahagian daripada tanggungjawab JLM dalam memastikan setiap insiden kemalangan perkapalan disiasat secara teratur dan menyeluruh bagi mengenal pasti punca kejadian serta langkah penambahbaikan keselamatan yang bersesuaian.
“Pemeriksaan awal yang dilaksanakan bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) turut mendapati tiada sebarang tumpahan minyak atau pencemaran marin dikesan di lokasi kejadian.
“JLM melalui Jabatan Laut Wilayah Malaysia Utara turut memberikan perhatian terhadap aspek keselamatan pelayaran, pergerakan kapal dalam had pelabuhan serta pematuhan kepada peraturan maritim yang berkuat kuasa,” menurut kenyataan itu.
JLM memandang serius sebarang pengoperasian atau pergerakan kapal tanpa kebenaran yang sewajarnya, khususnya apabila melibatkan risiko terhadap keselamatan pelayaran, kemudahan awam dan persekitaran marin.
Sebuah kapal besar dipercayai merempuh kawasan tebing berhampiran laluan pejalan kaki di Taman Rekreasi MADANI Esplanade Wing, di Lumut selepas kejadian tersebut tular di laman sosial, kira-kira 9.50 pagi semalam.
Siasatan awal polis mendapati kapal tangki tanpa muatan berukuran 83 meter panjang seberat 2,400 tan itu membawa 10 kru warga Thailand sedang menjalani ujian pelayaran tanpa kebenaran pihak berkuasa.
-- BERNAMA