GEORGE TOWN: Sekumpulan 124 individu yang leka berhibur meraikan sambutan hari jadi di sebuah pusat hiburan keluarga di Pulau Tikus, Pulau Pinang terbantut apabila mereka ditahan polis awal pagi Khamis.

Premis itu diserbu pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Bahagian Judi, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7), IPK Pulau Pinang bersama Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Timur Laut jam 1 pagi kerana disyaki terlibat dalam kegiatan kongsi gelap dan dadah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra'ais berkata ketika serbuan 99 orang lelaki dan 25 wanita berusia 15 hingga 70 tahun sedang leka berhibur meraikan sambutan hari jadi salah seorang daripada mereka.

"Pemeriksaan juga mendapati 26 daripada mereka disyaki mempunyai tatu ahli kumpulan kongsi gelap.

"Hasil ujian air kencing yang dijalankan, 21 daripada mereka didapati positif pelbagai jenis dadah," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.