Skip to main content

Malaysia

125 projek pembangunan bernilai RM1.85 juta diluluskan di Parit Sulong

Beliau berkata peruntukan itu menjadi usaha berterusan bagi memastikan kemudahan awam dapat terus dimanfaatkan dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat setempat. - Gambar fail
Beliau berkata peruntukan itu menjadi usaha berterusan bagi memastikan kemudahan awam dapat terus dimanfaatkan dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat setempat. - Gambar fail

Advertisement

BATU PAHAT: Sebanyak 125 permohonan projek pembangunan di kawasan Parlimen Parit Sulong bernilai RM1.85 juta diluluskan tahun ini, melibatkan kerja naik taraf dan baik pulih pelbagai kemudahan awam.

Menteri Perladangan dan Komoditi yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata jumlah itu sebahagian daripada peruntukan keseluruhan RM2 juta yang disediakan Kerajaan Pusat bagi 2026, dengan baki peruntukan dijangka diselesaikan pada akhir bulan ini.

Beliau berkata projek itu meliputi keperluan kampung menerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), kemudahan riadah, sekolah, kemudahan asas serta agensi kerajaan di situ.

“Antara yang dinaik taraf atau dibaik pulih ialah dewan, masjid, surau, tanah perkuburan dan kemudahan fizikal lain selain penyediaan alat bantu mengajar, penyaman udara, komputer, peralatan pejabat dan sistem siar raya,” katanya.

Noraini berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah Gerbang Merdeka Parlimen Parit Sulong dan Kelulusan Peruntukan Ahli Parlimen 2026 di Dewan Serbaguna Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Batu Pahat di sini hari ini.

Beliau berkata peruntukan itu menjadi usaha berterusan bagi memastikan kemudahan awam dapat terus dimanfaatkan dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat setempat.

Dalam pada itu, beliau berkata Pertandingan Gerbang Merdeka yang dianjurkan sejak 2018 sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia turut menjadi platform mengeratkan hubungan dalam kalangan penduduk kampung.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement