127 individu ditahan ingkar arahan PKP

Daripada jumlah tersebut, lapan individu direman, manakala 119 individu telah dikenakan kompaun.

Jelas Ismail Sabri, Task Force Operasi Pematuhan turut melakukan  64,656 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). - Gambar fail | Astro Awani
Seramai 127 lagi individu ditahan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Selasa kerana kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah tersebut, lapan individu direman, manakala 119 individu telah dikenakan kompaun.

"Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti yang tidak mengikuti prosedur opreasi standard (SOP) seramai 65 orang, dan aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial (62)," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Jelas Ismail Sabri, Task Force Operasi Pematuhan turut melakukan 64,656 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Sebanyak 3,353 Pasukan Pematuhan yang melibatkan 14,167 anggota telah membuat pemantauan di 4,110 pasar raya, 6,083 restoran serta 1,325 penjaja, 1,114 kilang, 3,819 bank dan 797 pejabat kerajaan.

"Selain itu, pemantauan dilakukan di 1,189 terminal pengangkutan darat, 218 terminal pengangkutan air serta 151 terminal pengangkutan udara," katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan seorang individu ditahan atas kesalahan imigresen.

Penahanan dibuat hasil Operasi Benteng yang melibatkan pihak berkuasa termasuk Angkatan Tentara Malaysia (ATM) dalam usaha mengawal sempadan negara daripada dibolosi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

Katanya, sebanyak 63 sekatan jalan raya Operasi Benteng di seluruh negara dilakukan oleh polis, dengan 31,707 kenderaan telah diperiksa bagi mengekang kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) terutamanya di lorong-lorong tikus.

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus," tegas beliau.