129 individu ditahan, 20 direman atas kesalahan ingkar arahan PKP

Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seramai 129 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yakkob berkata, daripada jumlah itu seramai 20 individu direman manakala 109 lagi individu telah dikenakan kompaun. - Gambar fail | Astro Awani
Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seramai 129 individu lagi atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Jumaat.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yakkob berkata, daripada jumlah itu seramai 20 individu direman manakala 109 lagi individu telah dikenakan kompaun.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal membuat catitan keluar masuk, tidak memakai pelitup muka, gagal memakai sarung tangan ketika aktiviti gunting rambut serta mengadakan aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial,” katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.

Setakat 14 Ogos, pasukan pematuhan terdiri daripada 4,875 pasukan telah menjalankan pemantauan melibatkan beberapa premis antaranya 3,900 pasar raya, 5,283 restoran serta 1,681 penjaja, 1,523 kilang, 3,568 bank dan 1,095 pejabat kerajaan.

Dalam pada itu, menerusi operasi OP Benteng, PDRM bersama beberapa agensi penguatkuasaan telah mengadakan 66 sekatan jalan raya di seluruh negara dan memeriksa 25,368 kenderaan bagi mengekang kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) terutamanya di lorong-lorong tikus.

Tegasnya, kerajaan memandang serius terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan kawalan ketat di setiap kawasan sempadan akan terus diperhebat khususnya di beberapa laluan lorong tikus.

Sementara itu, mengulas mengenai proses kuarantin wajib, Ismail Sabri memaklumkan seramai 11,236 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua mereka telah ditempatkan di pusat kuarantin.

Daripada jumlah itu, seramai 44 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan dan 2,992 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang.

Kesemua mereka merupakan individu yang baru sahaja pulang daripada beberapa negara antaranya Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, dan Jepun.