JOHOR BAHRU: Seramai 13 pemandu lori ditahan kerana positif dadah dan 210 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik dalam Op Perdagangan selama lapan jam yang diadakan di seluruh Johor mulai 12 tengah malam hingga 8 pagi Khamis.

Selain itu, dua pemandu ditahan kerana tersenarai sebagai orang dikehendaki mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kesemua lelaki yang ditahan menerusi operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Johor itu berusia lingkungan 22 hingga 48 tahun.

"Fokus utama operasi ini adalah untuk menyelesaikan isu yang sering diterima berdasarkan aduan awam dan tular di media sosial berkaitan isu kenderaan perdagangan.

"Menerusi 13 operasi yang dijalankan di seluruh negeri, terdapat segelintir pemandu lori terjebak dengan penyalahgunaan dadah melalui ujian urin yang dilakukan," katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952.

- BERNAMA