KUALA LUMPUR: Bilangan calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 yang memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 meningkat kepada 1,336 orang, sekali gus mencerminkan peningkatan prestasi akademik keseluruhan calon.
Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Profesor Datuk Md Amin Md Taff berkata, jumlah itu bertambah 70 calon berbanding 1,266 calon yang mencapai PNGK sempurna pada tahun 2024.
Menurut beliau, sebanyak 3.50 peratus daripada keseluruhan calon STPM 2025 berjaya meraih PNGK 4.00, selari dengan peningkatan PNGK Nasional kepada 2.88, iaitu pencapaian tertinggi sejak sistem peperiksaan baharu STPM diperkenalkan pada 2013.
“Peningkatan bilangan calon yang memperoleh PNGK 4.00 menunjukkan semakin ramai pelajar berjaya mencapai tahap kecemerlangan akademik tertinggi dalam peperiksaan STPM.
“Trend ini turut disokong oleh peningkatan PNGK Nasional dan pertambahan bilangan calon yang memperoleh keputusan 5A serta 4A berbanding tahun lalu,” katanya ketika mengumumkan keputusan STPM 2025 di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, hampir semua calon yang menduduki peperiksaan layak menerima Sijil STPM 2025.
Daripada 38,144 calon yang hadir menduduki peperiksaan, sebanyak 99.96 peratus atau 38,128 calon layak dianugerahkan sijil berkenaan.
“Calon layak memperoleh Sijil STPM sekiranya mendapat sekurang-kurangnya lulus sebahagian dalam satu mata pelajaran,” ujarnya lagi.
Bagi STPM 2025, seramai 40,199 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan itu, namun hanya 38,144 calon atau 94.89 peratus hadir.
Daripada jumlah tersebut, 35,774 calon atau 93.79 peratus terdiri daripada aliran Sains Sosial, manakala 2,370 calon atau 6.21 peratus daripada aliran Sains.
Sementara itu, semua 23 mata pelajaran yang ditawarkan dalam STPM 2025 mencatatkan kadar lulus penuh melebihi 70 peratus.
Dua mata pelajaran menunjukkan peningkatan prestasi melebihi tiga peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu Bahasa Arab dan Bahasa Tamil, manakala Literature in English serta Bahasa Cina merekodkan penurunan melebihi tiga peratus.