Seramai 140 individu ditahan atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Selasa.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, daripada jumlah itu seramai 136 individu dikompaun manakala empat lagi direman.

"Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal menyediakan peralatan/catitan keluar masuk iaitu 35 individu, enam individu tidak memakai pelitup muka.

"Dua individu gagal melunaskan bayaran di pusat kuarantin, seorang tidak memakai apron pakai buang serta 96 individu terlibat dalam aktiviti dengan kehadiran orang ramai sehingga menyukarkan penjarakan fizikal," katanya dalam kenyataan media pada Rabu.

Tambahnya lagi, Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 67,493 pemeriksaan pada Selasa bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ia melibatkan pemantauan di 4,229 pasar raya, 5,473 restoran serta 1,747 penjaja, 1,781 kilang, 3,842 bank dan 1,063 pejabat kerajaan. Turut dipantau, sebanyak 1,676 terminal pengangkutan darat, 315 terminal pengangkutan air serta 103 terminal pengangkutan udara.