KUALA LUMPUR: Sebanyak 136 kes melibatkan pegawai imigresen telah disiasat dan didapati melakukan kesalahan jenayah dan salah laku melibatkan proses kemasukan warga asing ke Malaysia, sejak 2020 hingga tahun lepas.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata daripada jumlah itu 112 kes membabitkan kakitangan yang melanggar tatakelakuan di bawah Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib 1993), manakala 24 lagi adalah kesalahan jenayah yang diputuskan mahkamah.

"KDN sangat serius serta bertegas dalam soal integriti dan tidak kompromi dalam soal salah laku kakitangan JIM," katanya di Dewan Negara hari ini bagi menjawab soalan Senator Hussin Ismail yang mahu tahu bilangan kes disiasat berhubung kewujudan unsur jenayah rasuah serta salah laku dalam kalangan pegawai imigresen melibatkan proses kemasukan warga asing.

Hussin juga mahu penjelasan tentang usaha kerajaan dalam mengatasi isu pelancong yang tidak keluar dari Malaysia setelah tamat visa pelancong.

Shamsul Anuar berkata dari 2020 dan hingga 6 Jun lepas, Jabatan Imigresen telah menangkap seramai 13,242 warga asing yang melakukan kesalahan tinggal lebih masa di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

Katanya jumlah itu merangkumi 4,292 warga asing pada tahun 2020, 2,704 (2021), 4,267 (2022) dan 1,979 bagi tempoh Januari hingga 6 Jun tahun ini.

Beliau berkata JIM tidak pernah berkompromi dalam aspek keselamatan melibatkan kemasukan dan keberadaan warga asing di dalam negara dengan melaksanakan beberapa strategi antaranya mengenakan syarat keperluan visa ke atas warganegara asing tertentu.

-- BERNAMA