KUALA LUMPUR: Selain Kuala Lumpur dan tiga daerah di Johor, sebanyak 14 mukim di Besut, Terengganu, turut dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa 7 hingga 20 Mei, umum Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob PKP.

Beliau berkata, PKP di 14 mukim itu dilaksanakan berikutan peningkatan kes berpunca daripada pergerakan keluar masuk pelajar dan pekerja dari negeri jiran.

"Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi iaitu 95 peratus.

"KKM telah merekodkan 406 kes positif hasil daripada 5,617 ujian saringan yang dilakukan ke atas penduduk di lokaliti tersebut.

"Selain itu, daerah Besut juga telah merekodkan 15 kluster bagi tempoh sama malah ada yang telah menular ke lokaliti lain," katanya menerusi kenyataan harian pelaksanaan PKP pada Rabu.

Katanya, pelaksanaan PKP ini untuk memudahkan KKM menjalankan ujian saringan secara besar-besaran selain menyekat penularan jangkitan di luar lokaliti terbabit.