KUALA LUMPUR: Sebanyak 147 hospital dan institusi di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berjaya memperoleh pensijilan hijau, menerusi pelaksanaan Fasiliti Kesihatan Lestari.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kejayaan tersebut menunjukkan komitmen kementerian dalam mengurangkan pelepasan karbon, meningkatkan kecekapan tenaga, serta memelihara kualiti udara dan pengurusan sisa di fasiliti kesihatan.
“Kejayaan ini adalah bukti komitmen KKM melestarikan sistem kita sendiri. Ukuran kejayaan kita bukanlah pada berapa banyak kajian yang diterbitkan atau bangunan yang dihijaukan semata-mata, sebaliknya apabila ilmu, data dan kelestarian itu mampu melindungi nyawa rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia Peringkat KKM 2026, di Institut Kesihatan Negara di Shah Alam hari ini.
Mengulas mengenai ancaman penyakit akibat perubahan iklim, Dzulkefly menjelaskan bahawa perubahan suhu, taburan hujan dan kelembapan memberi kesan langsung kepada ekosistem vektor (organisma hidup yang membawa dan memindahkan agen penyakit), terutamanya penularan wabak denggi di negara ini.
“Dalam konteks Malaysia, denggi adalah bukti yang paling jelas. Apabila risiko berubah, cara kita bertindak juga mesti berubah daripada sistem reactive (menunggu kes berlaku) kepada predictive and preventive health (meramal dan mencegah risiko lebih awal),” katanya.
Beliau memberi contoh penggunaan perangkap telur nyamuk berpelekat oleh komuniti bagi mengesan nyamuk Aedes, sebagai terjemahan sebenar pendekatan sains kepada tindakan di lapangan.
“KKM boleh menyediakan data, kepakaran dan teknologi, tetapi rakyatlah yang berada di lapangan setiap hari. Komuniti bukan sekadar penerima intervensi, mereka adalah sistem amaran awal. Inilah erti sebenar pendekatan Whole-of-Society,” katanya.
Dzulkefly berkata KKM melalui Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), telah membangunkan Panduan Penilaian Kerentanan Kesihatan Terhadap Perubahan Iklim dalam Kalangan Komuniti Pulau Kecil (2026), bagi merancang adaptasi kesihatan berasaskan bukti saintifik.
“Ke hadapan, kita akan terus memperkukuh survelan penyakit yang sensitif kepada iklim. Data persekitaran mesti dihubungkan dengan data penyakit - memantau rapat ancaman seperti denggi, malaria, penyakit bawaan makanan dan air, serta impak langsung daripada jerebu dan gelombang cuaca panas,” katanya.
-- BERNAMA