Skip to main content

Malaysia

16 Nov keputusan semakan kehakiman taksiran cukai Mukhriz

KUALA LUMPUR, 14 Jan -- Presiden Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) Datuk Seri Mukhriz Mahathir ketika mengadakan sidang media selepas selesai Mesyuarat Agung Parti PEJUANG kali kedua di sebuah hotel di Seri Kembangan hari ini.
Mahkamah Tinggi menetapkan 16 Nov depan bagi keputusan semakan kehakiman difailkan Datuk Seri Mukhriz Mahathir untuk mencabar tindakan LHDN mengeluarkan Notis Taksiran Tambahan terhadapnya. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 16 Nov depan bagi keputusan semakan kehakiman difailkan Datuk Seri Mukhriz Mahathir untuk mencabar tindakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengeluarkan Notis Taksiran Tambahan terhadapnya membabitkan lebih RM5 juta bagi 2017 hingga 2019. 

Hakim Datuk Azizan Md Arshad memutuskan demikian selepas mendengar hujahan peguam Nizamuddin Abdul Hamid mewakili Mukhriz selaku pemohon dan Peguam Kanan Hasil Marina Ibrahim yang mewakili Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri selaku responden.

Terdahulu, Nizamuddin berhujah taksiran tambahan bagi 2019 telah dijelaskan dan notis berkenaan adalah tidak sah kerana ia dikeluarkan selepas tamat tempoh lima tahun yang diperuntukkan di bawah undang-undang.

Beliau berkata walaupun notis itu dikeluarkan selepas tempoh berkenaan, LHDN sepatutnya menyatakan secara khusus alasan bagi pelanjutan tempoh tersebut sama ada disebabkan penipuan, keingkaran disengajakan atau kecuaian.

"Dalam kes ini tiada alasan diberikan…jika alasan itu dinyatakan, kami akan membawa perkara ini ke Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT),” kata peguam itu.

Nizamuddin berkata pihaknya hanya mengetahui bahawa pelanjutan tempoh itu dibuat atas alasan kecuaian selepas cabaran undang-undang difailkan di mahkamah.

Sementara itu, Marina berhujah bahawa notis tersebut dikeluarkan selepas tempoh asal kerana lanjutan masa telah diberikan kepada bekas Menteri Besar Kedah itu untuk menyelesaikan urusannya berhubung permintaan maklumat oleh LHDN.

“Pada masa yang material, lanjutan masa diberikan untuk menyediakan dokumen berkenaan dan adalah tidak adil untuk menggunakan perkara itu terhadap responden,” katanya yang memaklumkan kes itu masih bergantung kepada fakta dan mahkamah tidak boleh mendengar serta memutuskan perkara berkaitan cukai.

Beliau berkata SCIT merupakan tribunal yang tepat untuk mendengar perkara tersebut kerana badan itu mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan isu berkaitan had masa.

Pada 2 Jan 2025, mahkamah memberi kebenaran kepada Mukhriz untuk memulakan prosiding semakan kehakiman berkenaan.

Pada 20 Dis 2025, Mukhriz, 61, selaku pemohon memfailkan permohonan semakan kehakiman dengan menamakan Ketua Pegawai Eksekutif atau Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri, Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketiga.

Bagaimanapun, pada 24 Julai 2025, Anwar dan kerajaan berjaya mengeluarkan nama mereka dalam permohonan semakan kehakiman itu.

Dalam permohonan itu, Mukhriz yang juga ahli perniagaan memohon perintah untuk membatalkan keputusan responden pertama mengeluarkan Notis Taksiran Tambahan bagi 2017 hingga 2019 berjumlah RM5,020,707.18 atas alasan tindakan responden pertama itu menyalahi undang-undang dan tidak munasabah. 

Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu juga memohon deklarasi bahawa keputusan responden pertama mengenakan penalti terhadapnya di bawah Seksyen 113 (2) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 adalah terbatal dan ultra vires.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement