MALAYSIA
17 tahun Maritim Malaysia terus gagah membelah lautan, mengawal perairan negara

Sempena sambutan ke-17 tahun pada 15 Februari 2022, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin diberikan penghormatan menyempurnakan Tabik Hormat bagi sambutan bersejarah itu. - Bernama
PELABUHAN KLANG: “Kami Serius Melaksanakannya”.
Tiga perkataan yang cukup ringkas itu diangkat sebagai tema sambutan Hari Ulang Tahun ke-17 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Ringkas, namun ia sebenarnya menterjemahkan komitmen dan kesediaan agensi yang lebih dekat dengan panggilan Maritim Malaysia itu untuk mengawal, memantau, menjaga perairan negara sebaiknya.
Sempena sambutan ke-17 tahun pada 15 Februari 2022, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin diberikan penghormatan menyempurnakan tabik hormat bagi sambutan bersejarah itu.
Beberapa aset Maritim Malaysia digerakkan ke perairan Selangor sempena hari bersejarah tersebut.
Disambut secara ‘Fleet Review' yang julung kali diadakan, sambutan pada tahun ini melibatkan 10 kapal termasuk dua kapal pesisir luar pantai iaitu KM Arau dan KM Pekan, enam pesawat udara serta lapan bot.
Selain daripada acara lintas hormat, aset-aset laut dan udara turut mengadakan persembahan formasi serta demonstrasi penguatkuasaan dan menyelamat di laut.
Melihat kesiapsiagaan Maritim Malaysia dari aspek aset, kemahiran dan pegawainya, Hamzah optimis agensi tersebut kini mampu untuk membantu menjaga keselamatan negara.
“APMM bukan hanya boleh mengawal persisiran pantai tapi juga boleh menjaga keselamatan negara jika diperlukan.

Hamzah optimis agensi tersebut kini mampu untuk membantu menjaga keselamatan negara.
“Maka sebab itu pertahanan negara kita serahkan kepada Menteri Pertahanan tapi dalam waktu sama, apabila kita mempunyai pasukan seperti APMM, jika diperlukan, pertahanan juga boleh kita bantu dari segi persediaan pegawai dan anggota kita,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meraikan Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun Ke-17 Maritim Malaysia di Pelabuhan Klang pada Selasa.
Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som.

Antara demonstrasi ditunjukkan Maritim Malaysia ketika sambutan pada 15 Februari 2022.
Hampir dua dekad beroperasi, Maritim Malaysia merekodkan hasil rampasan, lelongan, kompaun dan denda berjumlah RM2.7 billion meliputi pelbagai penguatkuasaan termasuk penyeludupan dadah, rokok dan ketum.
Agensi itu turut mengkoordinasikan 2,428 operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) yang melibatkan 10,077 mangsa dan lebih RM650 juta nilai harta benda yang diselamatkan.

Antara aset dipamerkan Maritim Malaysia ketika sambutan tersebut, turut dimeriahkan dengan demonstrasi menyelamat dan menahan bot mencurigakan.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som dalam kenyataan pada Selasa turut melaungkan komitmen akan melipatgandakan usaha berteraskan “Kami Serius Melaksanakannya” demi kelangsungan kemakmuran perairan negara.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami