NATIONAL
18 individu termasuk tujuh kanak-kanak terperangkap kepala air

Seramai 18 individu termasuk tujuh kanak-kanak yang sedang beriadah di Sungai Lepoh, Hulu Langat berdepan detik cemas apabila terperangkap akibat kepala air pada Ahad. - Bomba Selangor
HULU LANGAT: Seramai 18 individu termasuk tujuh kanak-kanak yang sedang beriadah di Sungai Lepoh, Hulu Langat berdepan detik cemas apabila terperangkap akibat kepala air pada Ahad.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, sebuah jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang dengan kekuatan tujuh pegawai serta anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya dalam satu kenyataan hari ini, Komander Operasi melaporkan terdapat 18 orang terdiri daripada tiga lelaki, lapan wanita dan tujuh kanak-kanak terkandas akibat kepala air.
Tambah kenyataan lagi, pasukan kemudian segera menjalankan operasi dan kesemua mangsa berjaya diselamatkan pasukan bomba yang menerima panggilan pada 5.09 petang.
Bagaimanapun, beliau berkata, terdapat seorang wanita yang mengalami sesak nafas diserahkan kepada pegawai perubatan untuk rawatan lanjut manakala operasi menyelamat selesai pada 6.32 petang.
Sementara itu, Bernama melaporkan satu lagi kejadian kepala air di Alang Sedayu, Batu 12, Jalan Gombak Lama dekat sini, di mana empat mangsa berjaya diselamatkan orang awam.
Ahmad Mukhlis dipetik berkata, enam pegawai dan anggota daripada BBP Selayang dikejarkan ke lokasi kejadian, selepas menerima panggilan kecemasan pada 5.45 petang, sebelum menyelamatkan tiga lagi mangsa terkandas akibat kejadian itu.
"Keseluruhan tujuh mangsa berumur 15 hingga 31 tahun dibawa ke tempat selamat," katanya.
Ahmad Mukhlis berkata seorang daripada mangsa yang berumur 29 tahun, mengalami kecederaan patah kaki.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami