Sebanyak 19 premis dan empat tapak binaan diberi nasihat selepas didapati tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ia selepas pemeriksaan dijalankan oleh agensi kerajaan di premis perniagaan dan tapak binaan seluruh negara pada Selasa.

Turut diperiksa, individu yang sedang menjalankan kuarantin wajib.

"Semalam (Selasa), PDRM telah mengadakan 298 pemeriksaan terhadap individu yang sedang menjalankan kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing dan kesemua individu yang dikuarantin telah mematuhi SOP yang ditetapkan.

"PDRM bersama petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan sentiasa membuat pemeriksaan dan pemantauan terhadap individu-individu terbabit bagi memastikan SOP dipatuhi," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dalam perkembangan sama, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) jelas Ismail turut menjalankan pemeriksaan di 22 tapak binaan melibatkan 57 anggota penguatkuasa.

Hasil pemeriksaan mendapati 18 tapak binaan mematuhi SOP yang telah ditetapkan, manakala 4 buah tapak binaan tidak patuh SOP dan diberi amaran.

"Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah membuat pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan di 821 premis perniagaan termasuk peruncit (606), pemborong (186) dan pengilang (29). Secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperolehi.

"Pegawai penguatkuasa KPDNEHP juga telah melakukan 1,337 pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKPP dan mendapati 1,318 premis mematuhi SOP yang ditetapkan manakala 19 premis diberi nasihat kerana tidak patuh SOP," katanya.

Justeru, kerajaan menggesa pengusaha dan orang ramai sentiasa mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakan fizikal dalam aktiviti jual beli barangan keperluan.