Skip to main content

Dunia

Penduduk palestin tunai solat Jumaat di tanah terancam serangan peneroka haram Israel

Israeli soldiers stand guard as Palestinians hold Friday prayers during a protest against settlements near Hebron in the Israeli-occupied West Bank, June 12,2026. REUTERS/Mussa Qawasma
Tentera Israel berkawal ketika rakyat Palestin menunaikan solat Jumaat semasa satu protes menentang penempatan berhampiran Hebron di Tebing Barat yang diduduki, 12 Jun 2026. REUTERS

HEBRON (TEBING BARAT): Puluhan penduduk Palestin menunaikan solat Jumaat di kawasan tanah pertanian yang terancam dengan serangan peneroka haram di Bandar Hebron, selatan Tebing Barat yang diduduki, lapor Anadolu Ajansi.

Tindakan itu dilakukan meskipun tentera Israel mengisytiharkan kawasan berkenaan sebagai "zon ketenteraan tertutup" dan cuba menghalang mereka daripada menghampiri lokasi itu.

"Puluhan penduduk menuju ke tanah mereka di timur Bandar Idhna, namun tentera Israel mengenakan sekatan ketenteraan di kawasan itu dan cuba menghalang laluan mereka," kata aktivis Palestin, Saud Salimiya kepada Anadolu.

"Penduduk bagaimanapun berjaya sampai ke sebahagian daripada tanah mereka dan menunaikan solat Jumaat di situ, sekali gus menegaskan kesetiaan mereka terhadap tanah berkenaan serta menolak cubaan untuk merampasnya," kata Salimiya.

Menurut beliau, kawasan itu menyaksikan peningkatan serangan yang berterusan sejak lebih tiga bulan lepas oleh peneroka haram dari penempatan Adora, yang dibina di atas tanah Palestin, selepas rumah mudah alih ditempatkan di sebuah bukit berhampiran.

"Peneroka haram datang setiap hari ke kawasan pertanian dan melepaskan ternakan mereka di situ ketika musim menuai, sekali gus merosakkan tanaman," kata Salimiya sambil menambah bahawa golongan berkenaan turut terlibat dalam mencuri dan membakar hasil tanaman milik penduduk Palestin.

"Peserta mahu menyampaikan mesej bahawa tanah yang membentang dari timur Idhna hingga ke kawasan sekitar penempatan Adora adalah tanah Palestin milik penduduk bandar ini, dan mereka akan terus berada di situ serta mempertahankannya," katanya.

Salimiya berkata tentera Israel mempertahankan tindakan mereka dengan alasan mahu melindungi peneroka haram menerusi penguatkuasaan sudah terjadi (fait accompli) dengan mengisytiharkan kawasan itu sebagai zon ketenteraan tertutup.

Penduduk bagaimanapun menolak langkah berkenaan dan menegaskan mereka akan terus berusaha untuk sampai ke tanah mereka, katanya.

Insiden itu berlaku di tengah-tengah peningkatan serangan oleh peneroka haram ke atas kampung-kampung dan komuniti Palestin di Tebing Barat, termasuk tindakan membakar rumah, kenderaan, kawasan pertanian, serta serangan fizikal terhadap penduduk, terutamanya di kawasan berhampiran penempatan dan pos penempatan haram.

Sejak 7 Oktober 2023, sekurang-kurangnya 1,169 rakyat Palestin di Tebing Barat terkorban, 12,666 cedera , kira-kira 23,000 orang ditahan, dan  33,000 penduduk hilang tempat tinggal angkara tentera Israel dan peneroka haram , menurut angka rasmi Palestin.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement