SHAH ALAM: Ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low kini dipercayai berada dalam tahanan rumah di Shanghai, China, menurut pengarang bersama "Billion Dollar Whale", Bradley Hope.

"China mengawal Jho Low dengan ketat disebabkan rundingan dengan Malaysia, juga kerana penaungnya dalam perkhidmatan pengintipan ditangkap dan rakan kongsinya di CCCC (China Communications Construction Company) disingkirkan," katanya menurut portal berita FMT.

Hope berkata, daripada aset risikan, Jho Low yang juga individu yang paling dikehendaki dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kini menjadi liabiliti selepas Najib Razak disingkirkan pada PRU 2018.

Pada Selasa, Al Jazeera melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, Jho Low dipercayai 'bersembunyi' di Macau.

Jho Low didakwa di Malaysia dan Amerika Syarikat atas tuduhan mendalangi penyelewengan AS$4.5 bilion dana 1MDB. Beijing sebelum ini menafikan melindungi Low.

Malam tadi, sumber SPRM mengesahkan Kee Kok Thiam, bekas pembantu Low yang memaklumkan kepada pihak berkuasa Malaysia mengenai keberadaan Low di Macau, meninggal dunia.

Kok Thiam kembali ke Malaysia pada 3 Mei lalu selepas lima tahun berada di luar negara. - Sinar Harian