Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyambut baik penyelesaian yang ditawarkan pihak Goldman Sachs berjumlah AS$3.9 bilion (RM16.6 bilion) seperti yang diumumkan Kementerian Kewangan hari ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, ia merupakan satu kejayaan dalam usaha mengembalikan hak dan harta rakyat Malaysia.

“Dengan penyelesaian ini, dana 1MDB yang akan dikembalikan kepada Malaysia secara keseluruhannya berjumlah RM19 bilion (AS$4.5 bilion). Ini termasuk dana yang dipulangkan oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) sebelum ini.

“Kerajaan komited untuk meneruskan usaha mendapatkan semula aset-aset lain berkaitan 1MDB dan meneruskan tuntutan-tuntutan terhadap individu dan pihak yang berkaitan dengan skandal penyelewengan 1MDB,” katanya lagi.

BACA: 1MDB: Goldman Sachs tingkatkan tawaran penyelesaian kepada RM16.63b kepada Kerajaan Malaysia

Kementerian Kewangan dalam kenyataannya sebelum ini berkata, ia merupakan satu peningkatan yang ketara jika dibandingkan dengan tawaran sebelumnya, iaitu AS$1.75 bilion (RM7.46 bilion) yang dibuat oleh Goldman Sachs kepada pentadbiran Kerajaan pada tahun 2019.

“Penyelesaian ini merangkumi pembayaran tunai AS$2.5 bilion dan jaminan untuk pengembalian penuh berjumlah sekurang-kurangnya AS$1.4 bilion dari segi aset yang berkait dengan hasil yang telah diseleweng melalui tiga urus niaga bon tersebut.

“Goldman Sachs, atas biayanya sendiri, juga akan membantu Kerajaan Malaysia dalam melantik pakar pemulihan aset untuk mendapatkan kembali aset-aset lain yang kini berada di luar Malaysia,” menurut Kementerian lagi.